25.5 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 16, 2024

1Bestarinet: Ashraf hairan Maszlee kaitkan dengan Muhyiddin

Mesti Baca

CYBERJAYA – Tan Sri Muhyiddin Yassin boleh menggunakan kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri selama 17 bulan 16 hari untuk menyambung kontrak 1Bestarinet, jika beliau mahu.

Sebaliknya, Presiden Bersatu itu tidak melakukannya atau mengarahkan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Md Jidin untuk berbuat demikian kerana beliau memang tidak mempunyai apa-apa kepentingan dalam projek internet sekolah tersebut.

Sehubungan itu, Ketua Penerangan Armada Bersatu Nasional, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Amin hairan bagaimana Dr Maszlee Malik boleh mengaitkan pemecatannya sebagai menteri pendidikan sebelum ini atas arahan Muhyiddin yang berkaitan dengan 1Bestarinet.

“Jadi apa isu sebenarnya berkaitan kontrak 1Bestarinet ini sehingga menyebabkan Maszlee diminta meletak jawatan? Jika kita buat sedikit kajian, kita akan tahu sedikit sebanyak apa puncanya,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebooknya hari ini.

Berikut kenyataan penuh Mohd Ashraf berhubung isu tersebut:

SAYA berasa amat hairan dengan tindakan Dr Maszlee Malik yang mengaitkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai orang yang bertanggungjawab menyebabkan dia disuruh meletak jawatan sebagai Menteri Pendidikan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad. Kononnya Muhyiddin marah kepadanya kerana tidak menyambung kontrak 1Bestarinet.

Saya tidak ingin mempersoalkan kenyataan Maszlee. Itu kenyataan dia. Cuma saya terfikir, Muhyiddin menjadi Perdana Menteri dari 1 Mac 2020 hingga 16 Ogos 2021, iaitu selama 17 bulan 16 hari.

Jika benarlah Muhyiddin mempunyai kepentingan dalam projek 1Bestarinet, kenapa beliau yang mempunyai kuasa sebagai Perdana Menteri selama 17 bulan 16 hari tidak mengarahkan Kementerian Pendidikan untuk memperbaharui kontrak 1Bestarinet?

ASHRAF MUSTAQIM

Sebagai Perdana Menteri beliau tentunya mempunyai kuasa yang besar. Jika beliau boleh mendesak Dr Mahathir supaya memecat Maszlee, takkanlah beliau apabila menjadi Perdana Menteri tidak boleh mengarahkan Menteri Pendidikan supaya mengikut kehendaknya?

Bukankah lebih mudah untuk beliau sebagai Perdana Menteri memberi arahan kepada menteri yang beliau sendiri lantik untuk memenuhi kepentingan peribadinya?

Tetapi Muhyiddin tidak melakukannya. Kita lihat fakta.

Kontrak 1Bestarinet yang dilaksanakan secara tender terbuka bermula untuk Fasa 1 pada tahun 2011 ketika Muhyiddin adalah Menteri Pendidikan dan Datuk Seri Najib Tun Razak adalah Perdana Menteri. Muhyiddin dipecat oleh Najib dari Kabinet pada tahun 2015.

Kontrak 1Bestarinet disambung untuk Fasa 2 pada tahun 2016 ketika Dato’ Seri Mahdzir Khalid menjadi Menteri Pendidikan dan Najib adalah Perdana Menteri.

Kontrak 1Bestarinet seterusnya tidak disambung untuk Fasa 3 pada tahun 2019 ketika Maszlee menjadi Menteri Pendidikan dan Dr Mahathir adalah Perdana Menteri.

Kontrak 1Bestarinet juga tidak dilaksanakan semula ketika Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin menjadi Menteri Pendidikan dan Muhyiddin adalah Perdana Menteri. Ini faktanya.

Jadi apa isu sebenarnya berkaitan kontrak 1Bestarinet ini sehingga menyebabkan Maszlee diminta meletak jawatan? Jika kita buat sedikit kajian, kita akan tahu sedikit sebanyak apa puncanya.

Mungkin ramai yang masih ingat ketika Maszlee meletak jawatan sebagai Menteri Pendidikan pada 2 Januari 2020, terdapat kandungan satu surat yang ditulis oleh Dr Mahathir kepada Maszlee tular dalam media sosial.

Surat ini menyatakan sebab-sebab Maszlee diminta meletak jawatan (Baca di sini: https://www.themalaysianinsight.com/s/210117 )

Antara sebabnya ialah kegagalannya mematuhi arahan Kabinet dalam isu perkhidmatan internet percuma di sekolah. (Baca di sini: https://www.sinarharian.com.my/article/64643/BERITA/Nasional/Maszlee-diarah-letak-jawatan-kerana-sering-ingkar-arahan-Kabinet )

Bila saya buat semakan, YTL Communications iaitu syarikat yang mengendalikan kontrak 1Bestarinet telah memfailkan tindakan semakan kehakiman ke atas Kementerian Pendidikan Malaysia dan Maszlee sebagai Menteri Pendidikan.

Semakan kehakiman ini dibuat kerana Kementerian Pendidikan (KPM) tidak mempertimbangkan cadangan syarikat itu untuk membekalkan perkhidmatan internet secara percuma ke sekolah-sekolah selepas kontrak 1Bestarinet tamat.

Sebaliknya KPM melantik beberapa syarikat telekomunikasi lain untuk menyediakan perkhidmatan internet secara berbayar (Boleh baca di sini: https://www.malaysiakini.com/news/520721).

Mungkinkah ini isu berkaitan 1Bestarinet yang menjadi sebab peletakan jawatan Maszlee? Wallahua’lam.

Cuma saya berasa hairan mengapa Maszlee menyalahkan Muhyiddin? Apa dosa Muhyiddin kepada Maszlee?

Mungkin Maszlee tidak begitu mengenali Muhyiddin. Maklumlah, beliau menyertai Bersatu hanya beberapa hari sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Sebelum itu dia dilihat lebih rapat dengan DAP.

Mungkin ramai yang tidak tahu orang yang membawa Maszlee masuk ke dalam Bersatu dan menamakan dia sebagai calon di Parlimen Simpang Renggam adalah Muhyiddin.

Mungkin pertemuan beliau dengan Muhyiddin sebelum menyertai Bersatu hilang dari memorinya. Bahkan Muhyiddinlah yang mencadangkan namanya kepada Dr Mahathir untuk dilantik sebagai Menteri Pendidikan. Mungkin dia tidak tahu atau dia buat tidak tahu.

Gambar hiasan/SK Sungai Lalang, Bedong, Kedah.

Bayangkan daripada seorang pensyarah biasa, pertama kali menjadi calon dalam pilihan raya dan kemudiannya terus jadi menteri yang agak kanan kedudukannya dalam Kabinet.

Presiden parti yang beri dia peluang untuk naik dalam politik pun jadi rakan sejawatnya dalam Kabinet. Mungkin sebab itulah dia tidak hormat dan tidak rasa terhutang budi kepada Presiden parti yang ada sedikit jasa kepadanya.

Sebagai aktivis Armada yang berjuang dari awal bersama Muhyiddin, saya lebih kenal Muhyiddin dan tahu perwatakannya. Jauh bezanya dengan Maszlee.

Ketika panas isu Maszlee didesak oleh netizen supaya meletak jawatan sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Muhyiddin menasihati Maszlee supaya letak jawatan segera.

Ini kerana pelantikan itu bercanggah dengan dasar kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada ketika itu.

Saya diberitahu ada keputusan Kabinet supaya Maszlee meletak jawatan. Tetapi Maszlee degil. Beliau ambil masa berbulan-bulan lamanya sebelum meletak jawatan.

Kalau orang yang ada disiplin parti, apabila Presiden parti beri nasihat, cepat-cepatlah ikut nasihat. Nasihat itu pun untuk kebaikan parti dan Kerajaan.

Tetapi Maszlee tidak ada disiplin parti. Sampai Kabinet terpaksa buat keputusan. Itu pun dia ambil masa yang lama untuk patuh.

Saya tanya Muhyiddin susah sangatkah nak letak jawatan sebagai Presiden UIA?

Muhyiddin beritahu saya semasa beliau jadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan, beliau terima warkah daripada Almarhum Sultan Pahang sebagai Ketua Perlembagaan UIA pada ketika itu yang melantiknya sebagai Presiden UIA.

Beliau menolak pelantikan tersebut secara terhormat kerana tidak mahu dilihat ada konflik kepentingan sebab beliau juga adalah Menteri Pendidikan.

Jauh bezanya Maszlee dan Muhyiddin. Bagai langit dan bumi.

Tetapi saya menjadi lebih hairan apabila mengenangkan tindakan-tanduk Maszlee.

Ketika Muhyiddin hendak dilantik sebagai Perdana Menteri, dia berada bersama kumpulan yang menyokong Muhyiddin. Tetapi kemudiannya dia membuat pusingan-U dengan mengeluarkan kenyataan tidak menyokong Muhyiddin.

Selang beberapa minit selepas kenyataannya dikeluarkan, Muhyiddin diumumkan sebagai Perdana Menteri. Mungkin dia tersilap langkah.

Selepas Muhyiddin dilantik sebagai Perdana Menteri, dia datang berjumpa Muhyiddin. Kononnya menyokong Muhyiddin semula. Pelik saya dibuatnya.

Kalau dia seorang yang berprinsip dan dia yakin Muhyiddin yang menjadi punca dia dipaksa meletak jawatan, kenapa dia datang berjumpa Muhyiddin dan menyokong Beliau pula? Ini satu perbuatan yang pelik.

Melainkan dia datang berjumpa kerana ada tujuan tertentu. Maklumlah pada masa itu Ahli-Ahli Parlimen sedang sibuk menuntut jawatan itu dan ini dalam GLC (syarikat berkaitan kerajaan). Adakah ini sebabnya? Saya tidak mahu menuduh.

Tak lama selepas itu, dia buat pusingan-U sekali lagi. Dia tinggalkan Muhyiddin dan masuk parti Pejuang bersama Dr Mahathir. Dia dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Penaja Parti Pejuang.

Tetapi ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim heboh mendakwa dia ada strong, convincing and formidable majority, dia buat pusingan-U sekali lagi.

Maszlee yang pada ketika itu masih AJK Penaja Parti Pejuang telah menandatangani Akuan Bersumpah menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri.

Tindakan dia menyokong Anwar adalah bercanggah dengan pendirian parti Pejuang. Akhirnya dia meninggalkan parti itu dan menjadi Ahli Parlimen bebas.

Saya minta maaf. Saya perhati perjalanan politik Maszlee. Masih belum jauh perjalanannya. Tetapi saya nampak jelas kekaburan ‘prinsip’ Maszlee. Adakah dia seorang yang berprinsip atau hanya seorang oportunis?

Terkini

Malaysia, UNDP perbaharui kerjasama sehingga 2025

PARLIMEN Malaysia dan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) bersetuju memperbaharui kerjasama merangkumi sistem Jawatankuasa Pilihan Khas di Dewan...

Lagi Artikel Berkaitan