34 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Labuan bukti pelan pemulihan kerajaan PN berjaya – Muhyiddin

Mesti Baca

CYBERJAYA – Kejayaan Labuan yang menjadi negeri pertama memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) telah membuktikan segala perancangan kerajaan Perikatan Nasional (PN) berjaya.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kini Labuan menjadi negeri pertama yang penduduk dewasanya 100 peratus mendapat suntikan vaksin COVID-19 sejak dua hari lalu.

Beliau berkata, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang dicetuskan ketika beliau sebagai Perdana Menteri sebelum ini, kini membuahkan hasil.

“Strategi Kerajaan dalam mempertingkatkan kadar vaksinasi ketika kes meningkat di Labuan sekitar Mei dan Jun lalu terbukti berkesan apabila Labuan berjaya mencatatkan penurunan kemasukan pesakit COVID-19 di hospital selain pengurangan penggunaan katil ICU dan ventilator,” katanya hari ini.

Muhyiddin berkata, semua maklum bahawa Labuan merupakan wilayah pertama yang berjaya beralih ke Fasa 4 di bawah PPN.

Katanya, warga Labuan kini dapat menikmati kelonggaran di semua sektor ekonomi dan sosial tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) dalam norma baharu.

“Pencapaian ini sememangnya tidak dapat dicapai tanpa kerja keras Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF), ditambah kerjasama erat kesemua agensi kerajaan, Majlis Perwakilan Penduduk serta rakyat Labuan.

“Kejayaan Labuan memberi suntikan vaksinasi kepada lebih 68,500 penduduk dewasa di wilayah itu merupakan pencapaian yang membanggakan dan memberi inspirasi kepada kita semua dalam perang menentang COVID-19.

“Ini membuktikan bahawa usaha dan perancangan Kerajaan dalam “roll-out” PICK kini mula menunjukkan hasil,” katanya.

Muhyiddin yang gembira dengan pencapaian itu berkata, kejayaan itu juga berkat usaha semua pihak baik kerajaan, badan bukan kerajaan, swasta dan juga rakyat.

“Saya percaya Malaysia akan terus berada di landasan yang tepat dalam mencapai imuniti kelompok, sekaligus memulihkan ekonomi negara.

“Tahniah kepada penduduk Labuan. Terus patuhi SOP dan teruskan kawalan risiko kendiri untuk memastikan penularan wabak COVID-19 sentiasa terkawal.

“Insya-Allah, saya yakin negeri-negeri lain juga akan dapat mencapai kejayaan ini dalam masa terdekat,” katanya.

Katanya, kini negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya pula akan beralih ke Fasa 2 bermula Jumaat ini.

“Dengan kelonggaran yang diberikan ini, saya ingin mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Mari kita terus berusaha dan berdoa agar #KeluargaMalaysia terus berjaya dalam perang menentang COVID-19,” katanya. – Edisi 9

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan