CYBERJAYA – UMNO berjaya mendapat kebenaran untuk menangguhkan pemilihan parti sehingga satu tarikh yang akan diputuskan Pendaftar Pertubuhan (ROS) tetapi sebelum akhir Disember 2022.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ia dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Pendaftar Pertubuhan (ROS), Jasri Kasim menerusi sepucuk surat dengan rujukan PPM/WKL 251/88 JLD. 11(1) yang diterima beliau petang ini.
“Berdasarkan semakan kepada keterangan dan dokumen tambahan yang telah saya dan peguam UMNO berikan pada 9 Ogos, 11 Ogos, 18 Ogos dan beberapa keterangan Ahli MKT pada 24 Ogos, adalah didapati bahawa keputusan penangguhan pemilihan UMNO untuk penggal 2021/2023 telah dibuat secara TERATUR.
“Oleh itu, pemilihan jawatan UMNO untuk MKT, bahagian dan cawangan adalah ditangguhkan ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kepada ROS iaitu sebelum 29 Disember 2022,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Ahmad berkata, walau bagaimanapun, mesyuarat tahunan untuk cawangan, bahagian dan Perhimpunan Agung UMNO tanpa pemilihan dengan kehadiran satu perempat korum masih perlu diadakan tahun ini
Tarikh-tarikh tersebut, kata beliau, akan dimaklumkan kemudian.
Sehubunhan itu, beliau berterima kasih kepada Jasri dan para pegawai ROS yang telah memberikan kerjasama baik sepanjang semakan dan pertemuan dengan pihak UMNO diadakan.
Ahmad juga mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan parti serta ahli-ahli UMNO yang sabar dan tabah melalui episod yang berlaku.
Sebelum ini ROS menetapkan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 7 Julai lalu untuk menangguhkan pemilihan parti selama 18 bulan adalah tidak sah.
Ini kerana ketetapan itu dibuat berikutan tempoh pemegang jawatan MKT bagi penggal 2018/2021 tamat pada 30 Jun lalu. – Edisi 9