25.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Semua masjid di Kuala Perlis diarah had aktiviti

Mesti Baca

CYBERJAYA – Semua masjid di Kuala Perlis diarahkan oleh Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) supaya mengehadkan aktiviti pengimarahan masjid dan memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) mulai hari ini.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, tindakan itu diambil susulan peningkatan kes jangkitan COVID-19 di Kuala Perlis dan kawasan sekitarnya.

Baginda yang juga Yang Dipertua MAIPs bertitah enam masjid yang terbabit ialah Masjid Rahmaniah, Kuala Perlis; Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Seberang Ramai; Masjid Terapung Al-Hussain; Masjid Al-Firdaus, Padang Besar Selatan; Masjid Al-Munir, Jalan Batu Lima dan Masjid Al-Mukminin, Kota Kayang.

“Semua masjid di Kuala Perlis dan sekitarnya terbabit dengan arahan pelaksanaan aktiviti pengimarahan secara terhad dan SOP diperketatkan bermula waktu solat zohor hari ini, sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kemudian,” titah baginda menerusi kenyataan yang dikeluarkan MAIPs, hari ini.

Titah baginda, mereka yang berada dalam kawasan terbabit dilarang keluar kariah untuk menunaikan solat atau hadir mengimarahkan masjid di kariah lain.

Tuan Syed Faizuddin bertitah, orang ramai diminta segera membuat laporan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) sekiranya terdapat individu yang melanggar ketetapan itu.

Baginda bertitah, sebagai langkah kawalan hanya pegawai bertugas seperti imam, bilal dan siak masjid sahaja dibenarkan hadir.

“Selain itu, jemaah masjid yang terdiri dalam kalangan Jawatankuasa Kariah Masjid dengan tidak melebihi 12 orang pada sesuatu masa turut dibenarkan hadir untuk melaksanakan aktiviti solat jemaah sama ada solat fardu lima waktu atau solat Jumaat.

“Pegawai bertugas dan Ahli Jawatankuasa Kariah Masjid yang dibenarkan hadir hendaklah di bawah usia 59 tahun,” titah baginda.

Baginda bertitah, bagi yang berusia 60 tahun dan ke atas, mereka dibolehkan hadir dengan syarat sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19. – EDISI 9

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan