26.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Perincian vaksinasi remaja dibuat minggu depan

Mesti Baca

CYBERJAYA – Perincian mengenai pelaksanaan vaksinasi bagi golongan remaja berusia 12 hingga 17 tahun di negara ini akan dibuat minggu depan.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, langkah itu susulan surat pekeliling dikeluarkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berhubung perkara itu semalam.

“Sebagaimana yang dinyatakan dalam surat pekeliling oleh Dr Noor Hisham, satu pengumuman akan dibuat minggu depan oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV).

“Ia (pengumuman itu) mengenai bagaimana vaksinasi COVID-19 untuk remaja akan dilaksanakan mengikut pekeliling (yang dikeluarkan) Dr Noor Hisham serta garis panduan klinikal terkini,” katanya yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menerusi ciapan Twitter hari ini.

Dr Noor Hisham melalui pekeliling berkenaan, memaklumkan Kementerian Kesihatan (KKM) meluluskan untuk memperluaskan PICK dalam kalangan remaja berusia 12 hingga 17 tahun, bergantung kepada bekalan vaksin.

Remaja terbabit akan dibahagikan kepada dua kumpulan, iaitu berusia 12 hingga 15 tahun yang ada masalah kesihatan tertentu, selain individu berusia 16 dan 17 tahun dengan atau tanpa mempunyai masalah kesihatan tertentu.

Dr Noor Hisham berkata, remaja yang mempunyai masalah kesihatan tertentu perlu menjalani penilaian pravaksinasi oleh pegawai atau pakar perubatan berdasarkan status kesihatan semasa, sejarah perubatan, sejarah alergik serta rawatan atau ubatan yang sedang diterima.

Sementara itu, JKJAV melaporkan, seramai 525,342 individu menerima vaksin di negara ini, semalam.

Daripada jumlah itu, seramai 327,380 menerima dos kedua manakala 197,962 menerima dos pertama.

Secara keseluruhan, seramai 26,388,905 dos vaksin telah diberikan di bawah PICK setakat ini.

Selain itu, 42 peratus populasi dewasa telah menerima dos lengkap vaksin. – EDISI 9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan