34 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

2 hari kes jangkitan baharu COVID-19 lebih 21,000

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Sebanyak 21,468 kes jangkitan positif baharu COVID-19 dilaporkan hari ini, sekali gus menjadikan jumlah kes harian melebihi 21,000 kes selama dua hari berturut-turut.

Maklumat itu dikongsikan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam laman Facebook beliau, hari ini.

Semalam, sebanyak 21,668 kes jangkitan baharu dicatatkan. jumlah tertinggi sejak pandemik COVID-19 mula melanda Malaysia awal tahun lalu.

Secara keseluruhan, sebanyak 1,363,683 kes jangkitan COVID-19 direkodkan di seluruh negara setakat ini.

Selangor mencatatkan pertambahan kes baharu tertinggi hari ini iaitu 7,449 kes diikuti Kuala Lumpur (2,183 kes), Kedah (1,807 kes), Sabah (1,654 kes), Johor (1,485 kes), Pulau Pinang (1,316 kes) dan Kelantan (1,088 kes).

Selain itu, Negeri Sembilan merekodkan 974 kes baharu diikuti Perak (940 kes), Melaka (723 kes), Sarawak (715 kes), Pahang (572 kes), Terengganu (440 kes), Putrajaya (66 kes), Perlis (50 kes) dan Labuan (6 kes).

COVID

Sementara itu, dalam kenyataan media hari ini, Dr Noor Hisham melaporkan, daripada 21,468 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, sebanyak 670 kes (3.1 peratus) adalah daripada kategori 3, 4 dan 5.

“Manakala sebanyak 20,798 kes (96.9 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2. Ini adalah berdasarkan keadaan klinikal kes semasa baharu didiagnosis COVID-19.

“Ada di antara kes kekal di kategori yang sama sepanjang tempoh jangkitan, namun ada juga yang berubah status kesihatan kes sama ada bertambah baik ke kategori lebih rendah atau merosot ke kategori lebih tinggi,” katanya.

Menurut beliau, secara keseluruhan, hanya 2,703 kes (12.6 peratus) daripada jumlah kes yang dilaporkan pada hari ini telah lengkap di vaksinasi (iaitu yang telah mendapat vaksinasi dua minggu selepas dos kedua).

COVID

Dr Noor Hisham turut melaporkan, sebanyak 277 kes kematian hari ini yang melibatkan 108 kes di Selangor, 66 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 26 kes di Johor, 18 kes di Negeri Sembilan, 15 kes di Sabah, 14 kes di Kedah, 11 kes di Melaka, enam kes di Pulau Pinang, lima kes di Kelantan, masing-masing tiga kes di Perak dan Terengganu, serta dua kes di Pahang.

Beliau menambah, sebanyak 241,187 kes masih aktif di mana 1,075 kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan 537 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Pada masa yang sama, kata Dr Noor Hisham, sebanyak 17,025 kes sembuh hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan 1,110,528 kes.

Sebanyak 41 kluster baharu dikesan yang terdiri daripada 22 kluster tempat kerja, sembilan kluster komuniti, lapan kluster kumpulan berisiko tinggi, satu kluster institusi pendidikan tinggi swasta berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan dan satu kluster institusi pendidikan Kementerian Pendidikan.

Secara keseluruhan, sebanyak 4,120 kluster dikesan sejak COVID-19 melanda negara di mana 2,827 kluster telah tamat dan 1,293 kluster masih aktif. – EDISI 9

Terkini

Lebih 27,000 kandungan diturunkan sejak awal tahun – MCMC

SEBANYAK 27,115 kandungan bersifat provokatif melampau dalam media sosial dan platform Over The Top (OTT) telah diturunkan dalam tempoh...

Lagi Artikel Berkaitan