26.1 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 17, 2024

Kerjasama rentas parti pendekatan politik matang, kata Pas

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

CYBERJAYA – Pas amat bersetuju dengan pendekatan kerjasama politik rentas parti yang telah dipelopori kerajaan Persekutuan sejak beberapa bulan lalu dan kini diteruskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, langkah tersebut merupakan suatu pendekatan politik matang yang berpaksikan kepada keutamaan kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat tanpa mengambil kira sebarang perbezaan.

“Pas berpandangan langkah yang diambil adalah selaras dengan realiti politik masa kini dalam konteks pentadbiran negara di seluruh dunia di mana tidak wujud dominasi satu-satu parti politik selepas sesuatu pilihan raya umum diadakan.

“Justeru Pas menyambut baik sambutan pimpinan parti-parti pembangkang utama di negara ini terhadap usaha pemulihan negara yang dilakukan oleh kerajaan Persekutuan yang turut memberikan ruang yang luas kepada semua pihak untuk sama-sama menyumbang idea dan buah fikiran dalam usaha memerangi pandemik Covid-19 serta kesan-kesannya termasuk aspek ekonomi dan sosial,” kata beliau.

Takiyuddin yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata demikian bagi mengulas pertemuan Ismail Sabri bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng semalam.

Hasil pertemuan tersebut, kerajaan dan pembangkang yang diwakili Pakatan Harapan (PH) itu mencapai kata sepakat berhubung beberapa isu berkaitan rakyat, Parlimen dan badan kehakiman.

Takiyuddin berkata, Pas yakin dalam masa yang sama kerajaan akan terus berinteraksi dan mewujudkan kerjasama yang lebih konstruktif melibatkan semua pemegang taruh termasuk pihak pembangkang ke arah langkah-langkah reformasi merangkumi semua sektor, institusi dan segmen masyarakat.

Katanya, diharapkan ia menjadi permulaan yang baik bagi pembentukan landskap baharu politik negara yang mementingkan kesejahteraan, keharmonian dan keadilan kepada semua rakyat yang terdiri dari masyarakat majmuk. – Edisi 9

Terkini

26 warga asing ‘kosong’ ditahan di sekitar Johor Bahru

SEBANYAK 26 warga asing ditahan dalam operasi di sekitar Johor Bahru kerana dipercayai tidak memiliki dokumen yang sah dan...

Lagi Artikel Berkaitan