27.9 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

Kerajaan dengar kekecewaan rakyat di negeri Fasa 1 PPN

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Kerajaan mendengar kekecewaan rakyat kerana tidak berpeluang memanfaatkan kemudahan yang diumumkan terutama penduduk di negeri-negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) sebelum ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pada 8 Ogos yang lalu, beliau telah mengumumkan kemudahan-kemudahan sektor sosial bagi individu yang telah menerima vaksinasi lengkap.

“Kemudahan-kemudahan itu termasuklah rentas negeri atau daerah bagi pasangan jarak jauh, anak jarak jauh bagi Fasa 1 PPN dan rentas daerah, dine-in dan aktiviti sukan outdoor bagi negeri-negeri di dalam Fasa 2 PPN dan seterusnya.

“Perkembangan yang diperhatikan ini selari dengan saranan saya pada 8 Ogos iaitu supaya rakyat yang sudah menerima vaksinasi lengkap dapat membuat pertimbangan risiko kendiri yang rasional dan bijaksana dalam menghadapi ancaman virus COVID-19 biarpun kerajaan telah membenarkan beberapa bentuk kemudahan.

“Namun saya juga sedar bahawa ada yang kecewa kerana tidak berpeluang memanfaatkan kemudahan yang diumumkan terutama penduduk di negeri-negeri Fasa 1 PPN.

“Walaupun kekecewaan ini amat saya fahami, tetapi setiap keputusan untuk memberikan kemudahan-kemudahan ini mesti dibuat dengan berhati-hati dan mengambil kira negara kita masih berada di dalam situasi pandemik,” katanya menerusi kenyataan media di sini.

Muhyiddin berkata, Menteri Penyelaras PPN, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz telah menjelaskan bahawa matlamat utama Fasa 1 PPN ialah untuk menurunkan bilangan kes harian, meningkatkan kadar vaksinasi, menggalakkan setiap negeri untuk beralih ke Fasa 2 dan paling penting untuk menurunkan kadar penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Beliau berkata, kerajaan melalui Greater Klang Valley Special Task Force (GKVSTF) dan Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) sememangnya sedang bertungkus-lumus untuk meredakan situasi di Lembah Klang.

“Alhamdulillah, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media pada Jumaat lalu menyatakan bahawa Operasi Lonjakan Kapasiti (Operation Surge Capacity) di Lembah Klang sejak 26 Julai lalu telah menyaksikan kadar kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital bagi semua kumpulan umur mula menunjukkan penurunan.

“Kita juga sudah mula melihat perkembangan awal yang positif daripada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di beberapa buah negeri iaitu di Wilayah Persekutuan Labuan, Sarawak, Negeri Sembilan dan negeri-negeri Lembah Klang (Selangor, WP Kuala Lumpur dan Putrajaya).

Advertisements

“Semalam juga buat pertama kalinya, tidak ada kes jangkitan baharu COVID-19 yang dilaporkan di WP Labuan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, data yang dikumpul oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan bahawa setakat ini, kesemua negeri yang dinyatakan telah mula menunjukkan penurunan bilangan kes bagi kategori 3 hingga 5 apabila liputan dos lengkap vaksin COVID-19 bagi populasi dewasa ((18 tahun dan ke atas) telah melebihi 40 peratus.

“Pada masa yang sama, data daripada Crisis Preparedness Response Centre (CPRC) bagi hospital menunjukkan situasi di Jabatan Kecemasan di Lembah Klang juga bertambah baik.

“Contohnya purata pesakit yang menunggu di Jabatan Kecemasan untuk ditempatkan ke wad pesakit bagi hospital KKM di negeri-negeri Lembah Klang telah menurun.

“Pada 31 Julai lalu, purata sehari pesakit yang menunggu di Jabatan Kecemasan adalah 909 orang.

“Alhamdulillah, hasil perancangan rapi kerajaan dan pelaksanaan strategi oleh KKM serta kesan vaksinasi, purata sehari pesakit yang menunggu telah menurun kepada 239 orang pada 13 Ogos 2021.

“Justeru, saya amat berharap agar trend penurunan ini akan berterusan dan dapat mengurangkan beban kes COVID-19 yang serius serta kemasukan pesakit ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Walaubagaimanapun, kapasiti pesakit di ICU masih lagi penuh memandangkan rawatan pesakit di ICU adalah jauh lebih rumit dan memakan tempoh lebih panjang berbanding di wad biasa,”katanya.

Sehubungan dengan itu, Muhyiddin menyarankan agar segera mendaftar untuk dapatkan vaksinasi, termasuk bagi ibu hamil dan remaja dalam kumpulan umur yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Jaminan Akses Vaksinasi.

“Dalam masa sama, majikan juga perlu mainkan peranan untuk memastikan pekerja mereka termasuk pekerja asing mendapat vaksinasi,”katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju untuk menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja...

Lagi Artikel Berkaitan