27.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Langkawi jadi projek perintis destinasi gelembung pelancongan

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Kerajaan sedang meneliti pandangan serta maklum balas daripada pemegang taruh berhubung perancangan untuk menjadikan Pulau Langkawi sebagai projek perintis destinasi gelembung pelancongan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perancangan itu penting untuk kerajaan merancakkan semula industri pelancongan selepas lebih setahun terkesan akibat pandemik.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta pakar-pakar kesihatan telah menyarankan kerajaan agar melaksanakan perancangan ini hanya apabila kadar vaksinasi lengkap penduduk Pulau Langkawi mencapai sekurang-kurangnya 80 peratus daripada jumlah keseluruhan populasinya.

“Manakala, kumpulan yang dibenarkan melancong ke Pulau Langkawi kelak adalah terhad kepada individu-individu yang telah menerima vaksinasi lengkap.

“Cadangan ini sedang diteliti Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri dan akan dimuktamadkan melalui beberapa lagi siri perbincangan selepas ini,” katanya menerusi kenyataan media di sini.

Beliau berkata, selain Pulau Langkawi, kerajaan juga mempunyai perancangan untuk melaksanakan pendekatan gelembung pelancongan di lebih banyak destinasi terutamanya yang mempunyai kaedah kawalan pergerakan keluar masuk pelancong yang baik seperti di pulau-pulau peranginan lain yang terdapat di seluruh negara.

“Walau bagaimanapun, perkara ini masih di peringkat perancangan dan kerajaan akan melihat hasil projek perintis (Pulau Langkawi) terlebih dahulu.

“Jika semua berjalan lancar, Insya-Allah gelembung pelancongan akan dilaksanakan secara lebih meluas,”katanya.

Advertisements

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin berkata, taman-taman rekreasi awam bagi negeri-negeri di dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) juga akan dibenarkan beroperasi semula bagi tujuan aktiviti riadah berkuatkuasa Isnin ini.

“Kebenaran ini bagi memastikan kesejahteraan rakyat dipelihara terutamanya dalam usaha mengurangkan tekanan terhadap kesihatan mental.

“Tetapi ingat, hanya aktiviti yang boleh dilakukan secara individu seperti jogging, berbasikal dan bersenam dibenarkan, selari dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) sukan dan riadah dalam Fasa 1 PPN.

“Orang ramai juga hanya dibolehkan mengunjungi taman-taman rekreasi awam di kawasan kejiranan sahaja. Janganlah rentas negeri atau daerah untuk pergi ke taman rekreasi lain.

“Kebenaran ini amat penting untuk rakyat mendapat lebih masa berada di kawasan yang terbuka dan mempunyai sistem pengudaraan yang lebih baik berbanding hanya terkurung di rumah,” kata beliau.

Muhyiddin menegaskan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi berkaitan yang bertanggungjawab memantau pematuhan SOP di taman-taman rekreasi awam.

Katanya, mereka juga bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pelaksanaan kemudahan yang diberikan bagi memastikan ia dilaksanakan mengikut peraturan serta garis panduan yang telah ditetapkan dan mengelakkan mudarat. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

UM mohon maaf berhubung kenyataan penceramah pro-Israel

UNIVERSITI Malaya (UM) memohon maaf berhubung kenyataan kontroversi seorang penceramah jemputan pro-Israel yang menuduh tindakan ahli politik Malaysia menyokong...

Lagi Artikel Berkaitan