25.5 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Rentas negeri jumpa anak, pasangan jika dos vaksin lengkap

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

Rentas daerah hanya dibenar di negeri-negeri Fasa 2 PPN sahaja

CYBERJAYA – Individu yang telah menerima dos lengkap vaksin COVID-19 dan memenuhi kriteria yang ditetapkan diberi kelonggaran untuk merentas negeri dan daerah mulai 10 Ogos ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pasangan suami isteri jarak jauh yang telah mendapat vaksin dos lengkap dibenarkan rentas daerah atau negeri untuk bertemu pasangan masing-masing.

Menurut beliau, ibu bapa yang telah mendapat vaksin dos lengkap dibenarkan merentas daerah dan negeri untuk berjumpa anak di bawah umur 18 tahun.

“Kerajaan juga bersetuju memberikan kemudahan-kemudahan bagi sektor sosial kepada individu yang telah menerima vaksinasi lengkap dan menetap di negeri-negeri dalam Fasa 2 dan seterusnya.

“Kemudahan-kemudahan tersebut secara amnya adalah seperti berikut, rentas daerah dibenarkan.

“Individu yang ingin melakukan perjalanan rentas daerah mesti menunjukkan kepada petugas keselamatan di sekatan jalan raya sijil digital vaksinasi COVID-19 yang menunjukkan bahawa individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap,” katanya ketika mengumumkan kemudahan-kemudahan bagi individu yang telah menerima vaksinasi lengkap secara langsung, hari ini.

Selain itu, Muhyiddin menambah, pengembara warganegara dan bukan warganegara yang mempunyai kediaman di Malaysia (termasuk pemastautin tetap dan Malaysia MY Second Home) yang pulang atau tiba dari luar negara dan telah mendapat vaksin dos lengkap, dibenarkan menjalani kuarantin wajib di rumah dan diberikan Perintah Pengawasan Dan Pemerhatian Di Rumah (HSO) digital.

Sementara itu, beliau memberitahu, kerajaan bersetuju supaya aktiviti solat sahaja dibenarkan di masjid dan surau bagi jemaah yang telah menerima vaksinasi lengkap dan kemudahan itu juga terpakai ke atas semua fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Pihak masjid dan surau perlu pastikan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan protokol kesihatan awam seperti pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan juga pastikan jemaah terus pulang setelah selesai solat.

“Jemaah yang hadir untuk menunaikan solat mesti menunjukkan kepada petugas masjid dan surau sijil digital vaksinasi COVID-19 yang menunjukkan bahawa individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap,” jelasnya.

Perdana Menteri berkata, kemudahan itu juga diberikan kepada penganut bukan Islam untuk menghadiri rumah-rumah ibadat.

Menurut beliau, pelaksanaan kemudahan itu adalah tertakluk kepada pihak berkuasa agama negeri dan Kementerian Perpaduan Negara bagi rumah ibadat selain Islam.

“Perincian bagi kemudahan-kemudahan yang baru saya umumkan ini akan dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam waktu yang terdekat,” katanya. – EDISI 9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan