26.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Bekalan ubat rawatan COVID-19 diterima secara berperingkat

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Bekalan ubat-ubatan yang berkaitan rawatan COVID-19 di hospital awam tidak terputus sepenuhnya dan diterima secara berperingkat daripada pihak pembekal.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil maklum laporan media yang menyatakan terdapat kekurangan bekalan ubat-ubatan untuk kegunaan rawatan jangkitan COVID-19 di hospital awam seluruh negara.

Menurutnya, sejak Mei lalu permintaan ke atas ubat-ubatan digunakan dalam rawatan COVID-19 meningkat secara drastik dalam jangka waktu singkat, berikutan kenaikan kes secara mendadak bukan sahaja di Malaysia tetapi seluruh dunia.

“Permintaan dalam negara ke atas ubat-ubatan berkaitan dengan rawatan COVID-19 telah meningkat antara 10 hingga 15 kali ganda berbanding sebelum pandemik COVID -19.

“Ia turut mempengaruhi kedudukan stok ubat-ubatan COVID-19 di hospital awam,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Beliau berkata, KKM turut dimaklumkan mengenai gangguan bekalan oleh syarikat pengeluar ubat-ubatan di luar negara berikutan situasi pandemik ini, selain pengeluar tempatan juga mempunyai keupayaan terhad untuk menghasilkan stok dalam jumlah yang besar dalam jangka waktu singkat.

“Ini disebabkan oleh kekurangan bahan mentah di pihak pengeluar dan kemasukan bahan mentah tambahan dari luar negara yang tidak stabil,” jelasnya.

Justeru, Dr Noor Hisham berkata, pelbagai usaha dilakukan untuk mengatasi masalah ini melalui pendekatan seperti bekerjasama dengan pembekal melalui komunikasi berterusan untuk mendapatkan keutamaan penerimaan bekalan oleh Malaysia serta mencari sumber alternatif bagi ubat di bawah kontrak pusat.

“Seterusnya, meluluskan bekalan produk alternatif melalui perolehan daripada pembekal alternatif bagi produk di bawah kontrak pusat KKM serta melaksanakan perolehan darurat di peringkat nasional dan Jabatan Kesihatan Negeri, selain memudah cara pembelian ubat di luar kontrak untuk 21 jenis ubat-ubatan berkaitan rawatan COVID-19.

“Usaha lain ialah memudah cara proses pembekalan oleh pembekal kontrak dengan memberikan pengecualian ke atas syarat kontrak yang tidak menjejaskan kualiti produk (contoh: pengecualian pelabelan ‘Hak Kerajaan’ pada kotak ubat).

“Selain itu, perbincangan secara berterusan dengan pakar perubatan berhubung ubat alternatif yang sesuai digunakan bagi memastikan kesinambungan rawatan.

“Ia tidak terhad kepada ubat-ubatan dalam Formulari Ubat-ubatan KKM (FUKKM) tetapi merangkumi semua ubat berdaftar dan tidak berdaftar yang boleh didapati bagi memenuhi permintaan,”katanya.

Beliau turut memaklumkan, usaha seterusnya ialah pemantauan rapi ke atas ubat-ubatan berkaitan dengan rawatan COVID-19 melalui pelaporan stok setiap dua minggu bagi memudahkan mobilisasi stok ke lokasi-lokasi yang kritikal.

Sementara itu, beliau berkata, KKM sentiasa komited dan sedia bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk memastikan ketersediaan bekalan ubat-ubatan terutamanya berkaitan dengan rawatan COVID-19.

“Di samping itu KKM tetap memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan ubat-ubatan yang diperolehi tetap terjamin untuk kemaslahatan rakyat negara ini,” katanya. -Edisi 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan