28.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

2,500 pelajar B40 bakal terima dermasiswa MyBF TNB

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Seramai 2,500 pelajar dari golongan B40 ditawarkan dermasiswa My Brighter Future (MyBF) menerusi Yayasan Tenaga Nasional (YTN) tahun ini.

Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, langkah meneruskan tajaan dermasiswa, biasiswa dan pinjaman pendidikan kepada golongan B40 itu bagi menyokong usaha meningkatkan modal insan negara, selain membantu pelajar dari keluarga B40 keluar dari kepompong kemiskinan.

“Kami terpanggil untuk meneruskan tajaan, terutama MyBF kepada pelajar dari keluarga susah melanjutkan pengajian mereka di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), lebih-lebih lagi dalam suasana pandemik COVID-19 yang masih berlanjutan.

“Dermasiswa MyBF diberikan kepada pelajar tanpa permohonan dan proses temu duga, malah tiada bayaran balik. Calon yang layak dipilih daripada pengkalan data Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA – UPU Online dengan padanan dibuat dengan keluarga yang tersenarai dalam sistem Bank Data Kemiskinan Nasional, eKasih.

“Seramai 2,500 lagi pelajar akan menerima tajaan dermasiswa MyBF pada tahun ini yang mana jumlah tajaan tahunan setiap seorang di peringkat ijazah pertama adalah berjumlah RM10,000, diploma RM9,000 dan sijil pula, RM6,600,” katanya menerusi kenyataan media di sini.

Dermasiswa MyBF adalah kerjasama TNB dengan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT) untuk menyelaras dengan mengenal pasti calon layak daripada keluarga berpendapatan rendah dengan membantu pelajar di tujuh universiti awam, politeknik dan kolej komuniti terpilih.

Antaranya, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Tun Hussein Onn (UTHM).

Jelas Mahdzir, sejak diperkenalkan pada 2018, lebih 5,000 pelajar telah pun menerima manafaat MyBF sehingga tahun 2020 menerusi YTN dengan TNB memperuntukkan sebanyak RM66 juta.

YTN yang ditubuhkan pada 1993 telah pun membelanjakan lebih RM1.2 bilion melibatkan peruntukan dermasiswa MyBF (RM66 juta), biasiswa (RM597 juta) dan pinjaman pendidikan boleh ubah (RM547 juta) kepada lebih 18,500 pelajar.

Beliau berkata, biasiswa dan pinjaman pendidikan boleh ubah dikhususkan untuk pelajar cemerlang dalam bidang kejuruteraan, perakaunan dan pengajian bisnes.

“YTN, ketika ini juga sedang mengenalpasti calon-calon pelajar yang berkelayakan bagi kedua-dua bentuk tajaan ini,” katanya.

Mahdzir juga berkata selain YTN, TNB turut membantu pelajar di peringkat pendididkan tinggi menerusi Yayasan Canselor UNITEN (YCU), khusus untuk pelajar-pelajar di Universiti Tenaga Nasional.

“Pada tahun ini YCU menyumbang sejumlah lebih RM772 ribu bagi pembiayaan pelbagai program melibatkan, antaranya pembelajaran secara maya (virtual learning), penyelidikan pasca COVID-19 dan program sekolah angkat,”katanya. – Edisi 9

Terkini

Siti Hajar, pendiam tapi aktif dalam aktiviti kemasyarakatan

BERBEZA dengan mahasiswa lain yang aktif di kampus, gadis ini sering dianggap pendiam, walaupun banyak menyertai malah turut berpeluang...

Lagi Artikel Berkaitan