31 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

‘Trafalgar Square’ Sabah asing di negeri sendiri

Mesti Baca

Oleh MOHD AZRONE SARABATIN

KOTA KINABALU – Tugu Nelson yang berdiri gagah di Trafalgar Square, London tidak perlu diperkenalkan kerana satu dunia tahu kewujudannya untuk memperingati Laksamana Horatio Nelson yang gugur dalam Perang Trafalgar pada 1805.

Ini berbeza dengan Tugu Perajurit Tawau yang menempatkan monumen seorang askar memegang senjata sebagai simbolik mempertahankan tanah air, hanya orang Tawau dan sekitarnya seperti Semporna dan Kunak yang tahu kewujudannya.

Ini amat menyedihkan kerana Tugu Perajurit Tawau cukup signifikan dengan Tawau khususnya Kalabakan yang menjadi lokasi catatan sejarah konfrontasi antara Malaysia dan Indonesia pada 29 Disember 1963 selepas pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.

Dua tugu peringatan dibina masing-masing di lokasi pertempuran di Kalabakan dan bandar Tawau bagi mengenang jasa anggota tentera yang terkorban dan cedera dalam Peristiwa Kalabakan.

Sabah negeri Tugu Peringatan Malaysia
Tugu Peringatan Malaysia. Gambar: MOHD AZRONE SARABATIN

Ramai penduduk Tawau yakin sekiranya Tugu Perajurit Tawau mampu menjadi magnet menarik kehadiran pelancong domestik serta antarabangsa dan pencinta sejarah sudah pasti kawasan sekitarnya akan menjadi lokasi pilihan pelancong seperti Trafalgar Square di London.

Ini dengan sendirinya menjadikan lokasi itu keluar dari imej – `Trafalgar Square Sabah’ asing di negeri sendiri.

Ahli arkeologi yang juga penulis sejarah Sabah dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Baszley Bee Basrah Bee, berkata agak pelik Tugu Perajurit Tawau yang begitu tinggi nilai sejarahnya kurang diketahui kewujudannya di negeri ini.

Katanya, tugu berkenaan sangat sinonim dengan Pembentukan Malaysia pada 16 September 1963 dan tidak hairanlah ia dirasmikan sendiri oleh Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj.

Tugu Tunku Abdul Rahman
Tugu Tunku Abdul Rahman di Wisma Kewangan Sabah. – Gambar: MOHD AZRONE SARABATIN

Beliau berkata, walaupun ada Tugu Peringatan Kalabakan di lokasi pertempuran berikutan konfrontasi Malaysia dan Indonesia, namun sebuah tugu turut dibina di bandar Tawau.

“Tugu Peringatan Kalabakan dan Tugu Perajurit Tawau yang menempatkan monumen seorang askar tidak semua orang tahu, hanya orang Tawau yang tahu, tetapi bagi rakyat Sabah keseluruhannya, ia agak asing, apatah lagi penduduk dari negeri lain dan luar negara,” katanya.

Sabah negeri Batu Sumpah
Batu Sumpah. – Gambar: MOHD AZRONE SARABATIN

Dalam pada itu, Baszley Bee berkata Sabah paling banyak tugu untuk memperingati Pembentukan Malaysia yang sejarahnya bermula pada 9 Julai 1963 sebelum perisytiharan rasmi pada 16 September 1963.

Katanya, tugu berkenaan boleh ditemui di Kudat, Kota Belud dan Kota Kinabalu tetapi tidak ramai yang tahu kewujudannya sebagaimana Tugu Perajurit di Tawau.

Tugu Peringatan Pembentukan Malaysia di Kudat menggunakan tiga bahasa iaitu Bahasa Inggeris, Melayu dan Dusun.

Beliau berkata, Gerbang Malaysia dan Batu Sumpah Keningau yang dibina untuk memperingati Perjanjian Malaysia (MA) 1963 yang begitu tinggi nilai sejarahnya setanding Tugu Nelson, seperti dibiarkan hilang ditelan zaman.

“Satu lagi tugu yang kurang diketahui kewujudannya adalah Tugu Tunku Abdul Rahman di Wisma Kewangan, di sini.

“ Ini amat istimewa kerana rakyat Sabah amat menghargai sejarah Pembentukan Malaysia sehinggakan ada tugu Bapa Kemerdekaan di negeri kita.

“Kebanyakan tugu yang dibina adalah hadiah rakyat Sabah kepada pemimpin negeri dan negara yang berjuang memerdekakan tanah air,” katanya.

Tugu Kota Belud
Tugu Kota Belud. Gambar: MOHD AZRONE SARABATIN

MA63 ditandatangani di London pada 7 Julai 1963 yang menjadi detik permulaan pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.

Perjanjian Malaysia diperkenankan pemerintah tertinggi British, Queen Elizabeth II, disusuli Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Tuanku Syed Harun Putra Syed Hassan Jamalullail pada 26 Ogos 1963.

Bertitik tolak daripada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diwujudkan Akta Malaysia yang kini sebahagian daripada Perlembagaan Persekutuan. – EDISI 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan