25.9 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Menghadapi ‘bencana’ ledakan pesakit Covid-19 di HKL

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9

Oleh DATUK DR ALZAMANI MOHAMAD IDROSE

MINGGU lalu adalah minggu yang teramat mencabar untuk Hospital Kuala Lumpur (HKL). Ledakan kes Covid memenuhkan katil-katil dan unit rawatan rapi (ICU) di HKL. Ia juga fenomena yang serupa di hospital-hospital di Lembah Kelang.

Sebenarnya, sejak tahun lalu, Pengarah dan semua Ketua-ketua Jabatan bermesyuarat setiap hari termasuklah pada hari minggu dan memantau dengan rapat semua kes.

Mereka bekerja keras dan alhamdulillah, walaupun mencabar, kes-kes yang diselesaikan penstabilan dan rawatan di Jabatan Kecemasan dimasukkan ke wad secepat mungkin.

Hampir kesemua wad di bangunan utama sudah bertukar menjadi wad Covid. Perlahan-lahan, Ketua-ketua Jabatan merelakan wad masing-masing ditukarkan kepada Wad Covid.

Dari usaha seakan ‘Belanda minta tanah’ atau ‘Israel mengambil tanah rakyat Palestin’, perlahan-lahan, wad pembedahan terutamanya diserahkan untuk dijadikan Wad Covid.

Kini sudah ada 700 katil untuk kes-kes Covid-19 di HKL. ICU yang asalnya hanya ada 28 katil, kini menjadi 72 katil. Malah dewan-dewan bedah ditukar menjadi ICU.

Hospital seperti Hospital Rehabilitasi Cheras dan yang terkini Hospital Pediatrik Kanak-kanak juga digunakan untuk pesakit Covid-19 bagi menambah kapasiti.

Terdapat kerjasama yang erat dalam kalangan semua Ketua Jabatan di HKL. Semua kakitangan yang terdiri daripada pakar, pegawai perubatan, penolong pegawai perubatan, jururawat, pembantu perawatan kesihatan dan pemandu bekerja keras mengendalikan semua kes di HKL.

Pegawai farmasi, pegawai juruteknologi makmal dan juru-Xray juga berhempas pulas menjayakan semuanya. Malah unit kejuruteraan hospital juga membantu dalam modifikasi struktur selain keperluan oksigen hospital.

Dengan penambahan kes Covid-19 yang meledak terutamanya pada minggu lalu, Hospital Ampang terpaksa dijadikan Hospital Covid sepenuhnya.

Ini menyebabkan kes-kes kecemasan yang bukan Covid-19 menyerbu HKL dan kesemua katil-katil yang sudahpun penuh melebihi kapasiti yang sudahpun dibesarkan dari semasa ke semasa.

Walaupun katil-katil kanvas dibuka, ia juga dipenuhi dengan cepat. Hospital dalam mod ‘bencana’. Troli pesakit juga habis digunakan walaupun jumlahnya sudah ditambah sebelum ini. Tetapi masih, kesemua petugas kami mendepaninya dengan sabar.

Dalam keadaan katil yang kesemuanya penuh, ada seorang pesakit yang jantungnya terhenti dibawa masuk ke jabatan kami. Oleh kerana tiada troli atau katil yang tinggal, petugas tidak ada pilihan dan terpaksa meletakkan pesakit ke atas lantai untuk mengenakan mesin automatik CPR sementara troli dan katil dicari.

Petugas tidak dapat menunggu untuk CPR dimulakan, kerana jika 4 minit lewat, otak sudah mulai mati. Atas sebab itu, CPR diteruskan tanpa berlengah. Untuk CPR, katil kanvas tidak boleh digunakan kerana permukaan yang keras adalah perlu.

Hanya troli atau katil khas sahaja yang membolehkan CPR dilaksanakan. Hanya kemudian selepas itu, troli dapat dicari dan pesakit dipindahkan kemudiannya.

Melihatkan keadaan yang tidak pernah berlaku dalam sejarah HKL dengan tiadanya katil untuk CPR, ia mendatangkan rasa hiba dalam hati petugas kami. Benar, dalam hati kami menangis.

Dalam kesedihan itu, ada petugas yang berkongsi gambar kerana tidak percaya yang kita benar-benar sedang menghampiri situasi yang berlaku di India ketika tsunami Covid-19 melanda dengan oksigen habis dan sistem kesihatan lumpuh.

Saya faham isi hati mereka. Bagaimanapun, kami sentiasa cuba sedaya upaya memastikan moral dan semangat mereka tinggi.

Advertisements

Pengarah hospital kami telah memberikan jawapan bertulis kepada akhbar setelah isu ini tular di media sosial. Saya tahu, dia seorang yang amat mengambil berat situasi di hospital dan benar-benar tulus mahu semua ini diselesaikan.

Isu ini juga mendapat perhatian dan kesungguhan dari pihak Kementerian Kesihatan. Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian, Datuk Mohd Shafiq Abdullah sendiri datang dan melihat situasi di Jabatan Kecemasan.

Petugas Jabatan Kecemasan dan Trauma HKL mempersiapkan katil-katil kanvas untuk menampung kekurangan katil di jabatan itu ekoran ledakan pesakit Covid-19. – Sumber: FB Alzamani Mohammad Idrose

Ketua Jabatan kami, Datuk Dr Mahathar Abdul Wahab juga berusaha keras mencari penyelesaian. Sejak beberapa bulan lalu, dia berjaya mengusahakan model penghantaran kes ke hospital swasta bagi kes serangan jantung dan model ini dianjurkan untuk situasi katil hospital yang sudah tepu.

Alhamdulillah, terdapat sedikit sinar apabila persetujuan dicapai untuk memulakan penghantaran kes ke hospital swasta bagi meningkatkan kapasiti katil berasaskan model yang sama. Kata KSU, “I don’t want to hear any excuses that this cannot be done!

Jika semuanya berjalan lancar, akan ada lagi 300 katil tambahan bagi kes-kes bukan Covid-19.

Cuma kami amat berharap, pihak hospital swasta tidak mengenakan caj yang berlebihan dan mengambilkira tanggungjawab sosial semasa bencana pandemik. Kasihanilah pesakit-pesakit dan rakan-rakan petugas anda di KKM. Ianya masih akan dibayar dengan wang rakyat.

Kami amat berterima kasih kepada KSU yang membantu kami.

Dalam keadaan ribut ini, kesemua pakar-pakar kami berusaha menyelesaikan kemelut ini dari rumah. Pelbagai idea digembleng. Pagi tadi (semalam) pun, kami datang ke jabatan walaupun ia hari cuti untuk kami untuk membantu situasi.

Alhamdulillah, ada sedikit ‘ruang bernafas’ dengan katil-katil diperuntukkan untuk kes-kes tenat.

Prinsip kami di hospital adalah ‘menjambatankan setiap jurang’. Pasukan kami tidak gemar ‘bercakap’ atau ‘mengkritik’ tentang jurang yang ada, sebaliknya dalam diam ‘mencari kayu’, membina jambatan dan menutup setiap ruang. Kerjasama sebegini menghasilkan penyelesaian.

Saya juga amat berharap tidak ada tindakan dikenakan pula kepada ‘adik-adik’ saya yang berkongsi gambar CPR atas rasa hiba mereka akan situasi.

Mereka sudah banyak berkorban dan bekerja keras di jabatan kami dan saya pasti niat mereka ikhlas mahu menyedarkan masyarakat akan situasi yang melanda.

Kami amat berterima kasih kepada semua yang mendoakan kami dalam menangani kemelut ini. Insya Allah, kami tidak patah semangat. Saya amat bangga dengan pasukan saya.

Ketika bersama mereka pagi tadi, mereka masih menunjukkan positiviti yang menakjubkan, malah masih melemparkan senyuman ketika saya datang. Ramai antara mereka adalah juga pegawai perubatan kontrak dan kami perlukan mereka untuk mengharung badai dan ribut ini.

Kami harap, anda kemas dan tuntas dengan SOP terutamanya semasa Hari Raya Korban nanti.

Dari pemerhatian kami, yang dapat Covid-19 ini ramai yang menjadi ‘lemah’ dan ‘tewas’ di meja makan – duduk berdekatan dalam keadaan mask dibuka.

‘Lemah’ ketika berhadapan rakan dan keluarga dan diajak makan sedangkan mereka berpotensi untuk membawa Covid-19 kepada anda. Dan anda kepada mereka. Anggaplah semua ada Covid-19 dan anda akan pecahkan rantaian Covid dan mengurangkan kes yang perlu ke hospital.

Bantulah kami untuk tidak ziarah-berziarah. Kita sedang berhadapan dengan varian baru yang kecekapannya untuk merentas manusia adalah 60 peratus lebih baik.

Kita di ambang bencana yang lebih hebat jika kita membuka ruang untuk virus merentas.

  • Datuk Dr Alzamani Mohammad Idrose adalah Pakar Perunding Perubatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Kuala Lumpur. Tulisan ini dipetik dari Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia.
Advertisements

Terkini

Zahid, Muhyiddin sepakat batal saman, henti pertikaian peribadi

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini membuat...

Lagi Artikel Berkaitan