25.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

PM panggil sidang Parlimen sebelum 1 Ogos

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Ketua Majlis Parlimen telah memutuskan akan memanggil sidang Parlimen secepat mungkin sebelum 1 Ogos 2021.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam kenyataan media, hari ini.

Menurut beliau, kerajaan sentiasa menjunjung titah pandangan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam semua hal berkaitan pemerintahan negara termasuklah berhubung dengan persidangan Parlimen.

“Perkara ini akan dimuktamadkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 7 Julai 2021,” katanya.

Seri Paduka telah menzahirkan titah pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan sebelum 1 Ogos 2021.

Titah Seri Paduka dimaklumkan oleh Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dalam kenyataan media bersama, kelmarin.

Rais dan Azhar Azizan berkata, Seri Paduka menzahirkan titah pandangan itu ketika menerima menghadap kedua-duanya di Istana Negara, Selasa lalu.

Advertisements

Selasa lalu, Al-Sultan Abdullah sekali lagi menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin dengan mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard COVID-19 yang ditetapkan oleh kerajaan dan Parlimen.

Langkah itu bagi membolehkan Proklamasi Darurat dan Ordinan-ordinan Darurat yang telah dikeluarkan dapat dibentang di Parlimen seperti yang termaktub dalam Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan

Seri Paduka bertitah, semua Jawatankuasa-Jawatankuasa Pilihan Parlimen Ke-14 hendaklah meneruskan sesi-sesi mesyuaratnya.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka bertitah, langkah itu perlu dilakukan untuk pelaksanaan mekanisme semak dan imbang bagi menjamin berlakunya tadbir urus yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab khususnya menangani isu-isu dasar awam dan kemasyarakatan serta hal ehwal kewangan dan perbelanjaan negara.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan media yang dikeluarkan Istana Negara selepas Seri Paduka berkenan menerima menghadap Rais dan Azhar Azizan.

Pada 24 Februari lalu, Seri Paduka menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa Darurat berkuat kuasa. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan