28.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

Pesakit kategori 4 dan 5 meningkat, KKM ambil langkah responsif

Mesti Baca

CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terpaksa menilai semula strategi serta mengenal pasti langkah responsif dan pantas bagi menghadapi peningkatan jumlah pesakit Covid-19 tahap 4 dan 5 di Lembah Klang.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, ini berikutan jumlah katil yang ada di hospital-hospital di Lembah Klang serta Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Bersepadu MAEPS 2.0 melepasi kapasiti.

Menurut beliau, daripada keseluruhan 5,198 katil yang disediakan di PKRC Bersepadu MAEPS 2.0, sebanyak 154 katil yang dikhususkan untuk pesakit Covid-19 kategori 4 telah melepasi kapasiti penggunaan maksimum yang ditetapkan.

“Baki katil yang disediakan bagi pesakit tahap 1, 2 dan 3 di PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 juga hampir digunakan sepenuhnya.

“Berdasarkan data terkini, PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 menerima secara purata 800 orang pesakit Covid-19 dalam sehari dengan purata 200 pesakit adalah kategori 4,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Adham berkata, antara langkah yang sedang dan akan dilaksanakan ialah menambah 20 unit katil ICU tambahan di Hospital Ampang dan 8 katil ICU serta 45 katil wad biasa di Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HUPM) mulai semalam.

Ini bagi membolehkan pesakit Covid-19 kategori 4 dan 5 dipindahkan segera dari PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 ke hospital berkenaan untuk merawat dan menyelamatkan nyawa.

Beliau berkata, pihaknya juga telah melengkapkan wad di Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dengan 60 katil dan peralatan tambahan bernilai RM1.1 juta bagi meningkatkan keupayaan hospital tersebut.

“Kerajaan juga menubuhkan hospital medan dengan kapasiti 50 katil tambahan menerusi kerjasama Angkatan Tentera Malaysia di HTAR,” katanya.

Pada masa yang sama, Adham berkata, KKM juga memperluaskan kerjasama dengan Hospital Tunaku Mizan bagi menerima pesakit kategori 3 dan 4.

Tambah beliau, pihaknya juga melaksanakan segera penugasan semula lebih 110 petugas kesihatan terdiri daripada 75 pegawai perubatan, anggota paramedik dan pemandu dari Kedah, Perak dan Terengganu serta 43 pegawai perubatan dari hospital Lembah Klang ke PKRC MAEPS mulai hari ini.

Mereka akan bertugas antara sebulan hingga enam bulan bagi menyokong PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 bagi merawat pesakit kerana semakin ramai petugas, keadaan lebih terkawal.

Bagi masalah oksigen pula, Adham berkata, sebanyak 1,550 silinder telah ditambah di PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 selain mendapatkan 300 unit oksigen lagi daripada pembekal.

“KKM juga mengoperasikan semula Institut Latihan KKM (ULKKM) di Sungai Buloh yang mempunyai keupayaan maksimum sebanyak 2,400 katil.

“Pengoperasian ILKKM membolehkan pihaknya menempatkan pesakit kategori 1 dan 2 agar PKRC MAEPS dapat memberi tumpuan kepada perawatan dan pemulihan pesakit kategori 3 dan 4,” katanya.

Adham berharap dengan pelaksanaan langkah-langkah tersebut dapat meningkatkan kesipasiagaan hospital-hospital berkenaan dan PKRC Bersepadu MAEPS untuk menerima dan merawat pesakit Covid-19. – Edisi 9

Terkini

Stoking kalimah Allah: KK Mart akan dipanggil bantu siasatan

POLIS akan memanggil pihak KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) dan beberapa individu lain bagi membantu...

Lagi Artikel Berkaitan