28.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Pelaksanaan Sistem e-Tanah diperluaskan – Muhyiddin

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

PUTRAJAYA – Kerajaan Persekutuan sedang mengorak langkah untuk melaksanakan peluasan Sistem e-Tanah secara kerjasama awam swasta (PPP) ke Putrajaya, Labuan, Selangor, Terengganu, Pahang, Johor, Kedah, Perlis dan Kelantan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, inisiatif itu adalah susulan kejayaan pelaksanaan Sistem e-Tanah di Kuala Lumpur dan Perak.

“Sistem e-Tanah juga dijangka akan selesai dibangunkan di semua negeri tersebut dan boleh diguna pakai keseluruhan dan sepenuhnya selewat-lewatnya pada tahun 2024.

“Saya difahamkan, Perjanjian Konsesi Sistem e-Tanah Bagi Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan akan dimeterai pada hari ini,” katanya ketika berucap merasmikan Pelancaran Peluasan Sistem e-Tanah Secara Kerjasama Awam Swasta sempena Sambutan Hari Tanah Negara Tahun 2021 secara maya hari ini.

Program tersebut turut disertai Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah; Timbalannya, Datuk Ali Biju; Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, Zurinah Pawanteh dan Ketua Pengarah Tanah dan Galian, Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad.

Perdana Menteri berharap agar peluasan Sistem e-Tanah akan memberikan impak yang positif dalam meningkatkan lagi produktiviti Malaysia di mata dunia dan seterusnya akan menarik minat pelabur-pelabur luar negara untuk menambah pelaburan di dalam negara.

Muhyiddin memberitahu, pada tahun 2014, kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk melaksanakan Sistem Pentadbiran Tanah Secara Elektronik iaitu Sistem e-Tanah menerusi PPP.

Menurut beliau, inisiatif yang melibatkan kolaborasi di antara kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan syarikat swasta itu bertujuan menyeragamkan pentadbiran tanah di negeri-negeri berdasarkan perundangan yang berkuat kuasa, mengurangkan kerenah birokrasi serta meningkatkan ketelusan dan integriti dalam pentadbiran tanah.

“Saya percaya, pelaksanaan Sistem e-Tanah ini juga akan dapat menyumbang kepada kepesatan pembangunan negara disamping meningkatkan hasil kepada kerajaan-kerajaan negeri khususnya,” jelasnya.

Perdana Menteri mengambil maklum bahawa Sistem e-Tanah telah dimulakan secara perintis di Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Kuala Lumpur sejak tahun 2017.

Advertisements

Tambah beliau, sepanjang pelaksanaannya, sistem tersebut telah berjaya meningkatkan kualiti dan kecekapan pentadbiran tanah di Kuala Lumpur.

“Semasa peringkat awal pandemik Covid-19 melanda negara pada tahun 2020, kita menyaksikan Sistem e-Tanah, pelbagai urusan berkaitan tanah seperti carian persendirian, pembayaran cukai, permohonan pindah milik dan permohonan gadaian tanah dapat diteruskan secara dalam talian dengan cekap dan selamat,” katanya.

Muhyiddin berkata, berdasarkan kejayaan tersebut, Sistem e-Tanah secara PPP diperluaskan pula ke Perak dan telah mula diguna pakai pada Februari 2021.

“Sistem e-Tanah Perak juga telah menunjukkan prestasi yang cemerlang dan telah dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh kerajaan negeri untuk pelaksanaan urusan pentadbiran tanah,” katanya.

Menurut beliau, menerusi Laporan Ease of Doing Business yang dikeluarkan oleh Bank Dunia, pada tahun 2020 Malaysia berada di kedudukan ke-12 berbanding kedudukan ke-15 pada tahun 2019.

Muhyiddin berkata, Bank Dunia juga turut mengiktiraf usaha Malaysia dalam meningkatkan prestasi sektor awam dengan mengeluarkan laporan Knowledge and Research pada 2017, The Malaysia Development Experience Series yang bertajuk ‘Enhancing Public Sector Performance: Malaysia’s Experience with Transforming Land Administration’ untuk dikongsikan bersama negara-negara lain tentang kemajuan Malaysia dalam mentransformasikan pentadbiran tanah.

“Selain itu, Sistem e-Tanah ini turut meraih pengiktirafan di peringkat antarabangsa pada tahun 2018 iaitu pencapaian Gold Award Public Sector di ASEAN ICT Award 2018 yang telah diadakan di Indonesia,” katanya.

Sementara itu, Shamsul Anuar dalam kenyataan media berkata, Perjanjian Konsesi Sistem e-Tanah Bagi Pejabat Pengarah Tanah Dan Galian Putrajaya dan Labuan Secara Kerjasama Awam-Swasta telah dimeterai secara maya di antara kerajaan Persekutuan yang diwakili oleh Zurinah dan Pengerusi Eksekutif Puncak Tegap Sdn Bhd, Syed Azmin Syed Nor selaku syarikat konsesi bagi projek tersebut.

“Dengan termeterainya perjanjian konsesi ini, pembangunan Sistem e-Tanah akan dimulakan di kedua-dua pejabat tanah tersebut dan seterusnya akan memberi manfaat kepada pengguna dan pemilik tanah di Putrajaya dan Labuan,” katanya. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Apabila kita terlampau berlebih-lebihan meraikan Syawal

Oleh DR MOHD ISTAJID MOKHTAR BARANGKALI Malaysia merupakan antara negara Islam paling berlebih-lebihan dalam menyambut Aidilfitri. Tidak seperti negara-negara Islam Timur...

Lagi Artikel Berkaitan