25.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Moratorium tiada faedah kompaun – Tengku Zafrul

Mesti Baca

CYBERJAYA – Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menjelaskan, moratorium enam bulan yang diberikan kepada semua peminjam individu bermaksud pinjaman dimaafkan. 

Bagaimanapun kata beliau, ia tidak mempunyai faedah berkompaun, iaitu tidak dikenakan faedah ke atas faedah. 

‘’Hanya faedah terkumpul dikenakan seperti biasa apabila kita mula membuat bayaran selepas 6 bulan. Juga tidak dikenakan penalti dan tidak direkodkan dalam CCRIS bagi mereka yang memilih kemudahan moratorium,’’ katanya dalam laporan LAKSANA hari ini.

Beliau berkata, ada peminjam yang ingin membayar semula dengan kadar bayaran balik asal selepas tempoh moratorium selesai, ada juga yang ingin membayar dengan jumlah yang lebih rendah dan memanjangkan tempoh bayaran balik. 

‘’Bagi mereka yang memilih untuk melanjutkan tempoh bayaran pinjaman lebih lama dari tempoh asal, sudah tentu faedah yang perlu dibayar lebih tinggi tetapi perkara ini perlu dirunding dengan bank masing-masing.

‘’Mana-mana peminjam yang masih menghadapi kesukaran setelah berunding dengan bank mereka boleh menghubungi BNMTELELINK di bnm.my/RAsurve,’’ katanya.

Tengku Zafrul memberitahu, walaupun hutang kad kredit pula masih perlu dibayar tetapi kalau memerlukan, ia boleh ditukar kepada pinjaman dengan kadar faedah yg lebih rendah. ‘’Maksudnya masih berhutang tapi kosnya lebih rendah dan masa untuk membayar juga lebih Panjang,’’ katanya.

Advertisements

Beliau berkata, moratorium 6 bulan akan ditawarkan kepada semua peminjam individu (merangkumi B40, M40 atau T20) dan usahawan mikro, tanpa dikenakan syarat seperti pengurangan pendapatan atau hilang pekerjaan. 

‘’Kemudahan ini juga ditawarkan kepada pengusaha PKS yang terjejas tertakluk kepada semakan dan kelulusan pihak bank. 

‘’Tiada lagi dokumentasi yang perlu dikemukakan dan peminjam hanya perlu menandatangani perjanjian pindaan syarat- syarat pinjaman yang berkaitan. 

‘’Pakej moratorium ini dianggarkan akan membawa kelegaan sehingga RM80 bilion kepada peminjam individu dan perniagaan,’’ katanya.

Beliau menegaskan,  oni merupakan kali kedua Malaysia memperkenalkan moratorium pinjaman secara menyeluruh selepas kali pertama diperkenalkan pada Mac tahun lepas. ‘’Tiada negara lain di dunia yang memberikan moratorium menyeluruh seperti ini, malah kebanyakannya hanya menyediakan bantuan pinjaman secara bersasar dan terhad,’’ katanya.

Bagaimanapun beliau juga menegaskan, pemberian moratorium merupakan langkah sementara sahaja, iaitu sebahagian daripada inisiatif Pelan Pemulihan Negara.

‘’Ia perlu dilihat bersama dengan usaha kita untuk mempercepatkan peralihan ke fasa PKP seterusnya. Lagi cepat kita beralih fasa, lagi cepat pelbagai sektor boleh beroperasi, maka lagi cepat pemulihan ekonomi kita. Sekiranya rakyat sudah boleh keluar mencari rezeki, lebih cepat kita dapat memperolehi kehidupan kita semula,’’ katanya.

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan