31 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Gagal masuk Gaza, pasukan HM4P pulang hampa

Mesti Baca

CYBERJAYA – Misi Bantuan Kemanusiaan Untuk Palestin (HM4P) diketuai Datuk Seri Abdul Azeez Rahim akhirnya mengalah selepas lebih sebulan berusaha memasuki Semenanjung Gaza menemui jalan buntu.

Misi anjuran Kelab Kebajikan UMNO yang disertai para sukarelawan termasuk influencer kontroversi, Caprice untuk menyampaikan bantuan kepada rakyat Palestin di bumi Gaza yang menderita ekoran serangan rejim Zionis.

Walaupun gagal memasuki Semenajung Gaza ekoran tidak mendapat jaminan keselamatan tentera Mesir, HM4P telah menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin dan sumbangan kepada Masjid Al Aqsa menerusi wakil mereka di Amman, Jordan.

Azeez berkata, keputusan untuk menamatkan misi tanpa berjaya merentasi sempadan Rafah, Mesir dibuat setelah mendapat nasihat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Atas nasihat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, misi HM4P ditangguhkan,” kata Azeez seperti dilapor UMNO Online.

Katanya, beliau telah berbincang dengan Naib Presiden UMNO itu dan memaklumkan pihak tentera Mesir tidak dapat memberi jaminan keselamatan susulan keadaan tidak menentu di Semenanjung Gaza.

Katanya, ini ekoran beberapa siri serangan udara dilakukan tentera Zionis di sekitar Semenanjung Gaza dengan alasan membalas tindakan pejuang Palestin yang melepaskan belon pembakar ke kawasan mereka.

Azeez berkata, walaupun HM4P mendapat kelulusan kerajaan Mesir, tetapi pihak tentera yang akan membawa rombongan bantuan tidak dapat memberikan jaminan keselamatan.

“Buat masa ini, HM4P hanya mendapat kelulusan untuk ke sempadan Rafah sahaja tanpa masuk ke Gaza,” katanya sambil menambah mereka akan menaiki pesawat untuk pulang ke Malaysia jam 1 pagi Khamis dari Kaherah, Mesir.

Misi kemanusiaan itu bermula 19 Jun lalu dengan kumpulan pertama bertolak ke Jordan dan mengagihkan sumbangan kepada beberapa kem pelarian Palestin di sekitar Amman, selain menyalurkan bantuan wang tunai bagi memperbaiki Masjid Al-Aqsa yang rosak akibat pencerobohan askar dan polis rejim Zionis Israel.

Sementara itu, Ismail Sabri ketika sidang video bersama anggota HM4P turut menasihatkan Azeez dan pasukannya menangguhkan misi berkenaan.

“Oleh kerana keadaan di Gaza masih tidak menentu, maka saya menasihati Datuk Seri Azeez dan team untuk pulang dulu ke Malaysia. Insya-Allah jika keadaan stabil mereka boleh ke Gaza semula.

“Kepada rakyat Malaysia yang di kasihi, setiap orang ada pengorbanannya, di dalam pengorbanan juga pasti ada ujian-Nya.

“Tetapi Allah itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, Dia mengetahui setiap pengorbanan seorang insan. Semoga setiap usaha dan pengorbanan itu dijadikan asbab kebahagian yang dapat untuk semua,” katanya.

Sebelum ini pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew menjadi satu-satunya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendapat pelepasan untuk memasuki Gaza bagi menyampaikan bantuan kemanusiaan.

Bagaimanapun Ebit juga terpaksa menunggu di Mesir kira-kira sebulan sebelum mendapat kebenaran merentasi Rafah untuk ke Gaza, setelah bertolak dari Malaysia pada 26 Mei.

Ekoran itu Caprice “menyerang” Ebit menerusi media sosial dan menuduh ada pihak-pihak tertentu di tanah air menghalang mereka memasuki Gaza.

Caprice juga membuat beberapa tuduhan terhadap misi bantuan Ebit Lew sebelum dia akhirnya memohon maaf terhadap pendakwah tersebut kerana membuat tuduhan melulu. – Edisi 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan