24.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

UMNO tegur atas dasar bersama kerajaan – Shahidan

Mesti Baca

CYBERJAYA – Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC), Datuk Seri Shahidan Kassim menasihatkan semua pihak termasuk UMNO agar membuat teguran atas dasar bersama dalam kerajaan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Arau menyifatkan teguran yang dibuat secara terbuka terhadap kerajaan adalah tidak tepat.

“Kalau nak bagi pandangan pun, biarlah pandangan yang betul,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Shahidan menegaskan, Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) bersetuju agar sidang Parlimen diadakan segera namun ia mesti mengikut notis.

“Notis adalah 28 hari, bukan 14 hari. Itu sebenarnya tidak tepat. Dan kalau kerajaan ini tidak berguna, UMNO majoriti dalam kerajaan.

“Macam mana kerajaan tidak berguna sedangkan ahli UMNO ramai di dalamnya?” soalnya.

Tambah Shahidan, majoriti Ahli Parlimen BN masih berpegang teguh dengan keputusan parti pada Perhimpunan Agung UMNO 2020 untuk menyokong kerajaan sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Advertisements

Menurut beliau, mereka juga bertegas mempertahankan pendirian menolak kerjasama dengan DAP dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, UMNO memberi tempoh 14 hari kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) membuka sidang Parlimen.

Jika gagal berbuat demikian, Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi parti itu akan memuktamadkan tindakan selanjutnya

Ahmad Zahid berkata, UMNO berpendirian tegas untuk mendesak kerajaan menghormati titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-Raja Melayu agar memanggil sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari.

Hari ini, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, setiap keputusan yang dibuat oleh UMNO dalam kemelut politik semasa mesti bersandarkan mandat dari Perhimpunan Agung parti dan dibincangkan secara kolektif oleh Majlis Tertinggi.

Menurut beliau, keputusan itu termasuk berhubung kedudukan UMNO dalam kerajaan, menolak kerjasama dengan parti atau individu tertentu yang tidak akan menguntungkan UMNO serta pendirian UMNO tentang pelbagai isu semasa.

Mohamad menyatakan, semua ketetapan yang telah diputuskan oleh Perhimpunan Agung UMNO adalah terpakai dan Majlis Tertinggi wajar menterjemahkan mandat ini dengan sebaik-baiknya. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan