29.8 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Latihan rutin sahaja, tiada negara jadi sasaran China

Mesti Baca

CYBERJAYA – Jurucakap Kedutaan Besar China di Kuala Lumpur menjelaskan bahawa 16 pesawat Tentera Udara China yang menceroboh ruang udara Zon Maritim Malaysia (ZMM) kelmarin hanya melakukan latihan.

Memetik laporan Malaysiakini, tiada negara yang dijadikan sasaran dalam insiden tersebut.

“Setahu saya, aktiviti yang dilaporkan adalah latihan penerbangan Tentera Udara China secara rutin dan tidak menyasarkan mana-mana negara pun.

“Menurut undang-undang antarabangsa yang relevan, pesawat tentera China bebas melakukan lintas terbang di ruang udara yang relevan.

“Semasa latihan ini, pesawat tentera negara kami mematuhi undang-undang antarabangsa yang berkenaan dan tidak memasuki ruang udara wilayah negara lain,” jelas jurucakap itu petang semalam.

Jurucakap itu menambah, negaranya dan Malaysia adalah jiran yang mesra, dan China bersedia untuk meneruskan rundingan mesra dua hala dengan Malaysia untuk bersama-sama menjaga keamanan dan kestabilan serantau.

Sementara itu, Menteri Luar, Datuk Seri Hishamuddin Hussein dalam kenyataan media malam tadi berkata, kementeriannya akan mengeluarkan nota bantahan diplomatik atas pencerobohan ini kepada kerajaan China.

Menurut beliau, Kementerian Luar juga akan memanggil Duta Besar China ke Malaysia bagi memberikan penjelasan mengenai pencerobohan ruang udara dan kedaulatan Malaysia oleh 16 pesawat tentera udara China terbabit.

“Di samping itu, saya juga akan menyampaikan kegusaran serius Malaysia mengenai perkara ini kepada rakan sejawat saya di China.

“Pendirian Malaysia sangat jelas, mempunyai hubungan diplomatik yang mesra dengan mana-mana negara tidak sekali kali bermaksud bahawa kita akan kompromi tentang keselamatan negara kita. Malaysia tetap teguh mempertahankan maruah dan kedaulatan kita,” katanya.

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah mengesan penerbangan mencurigakan sebanyak 16 pesawat Tentera Udara China memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia (ZMM), Wilayah Maklumat Penerbangan Kota Kinabalu (KK FIR) dan menghampiri ruang udara negara kelmarin.

Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad berkata, penerbangan pesawat-pesawat tersebut telah dikesan oleh Radar Pertahanan Udara TUDM daripada Pusat Pertahanan Udara (CRC 2) di Sarawak pada pukul 11.53 pagi.

Menurut beliau, pesawat- pesawat tersebut telah dikesan terbang secara formasi taktikal in-trail pada jarak 60 batu nautika di antara satu sama lain.

“Formasi panjang tersebut juga telah terbang dengan paten dan haluan yang sama menggunakan satu titik laluan masuk dan keluar.

“Mereka kemudiannya didapati mengubah arah penerbangan di ruang udara Beting Patinggi Ali yang berkepentingan kepada negara,” katanya dalam kenyataan media, semalam. – EDISI 9

Terkini

Veto AS ke atas Palestin: Pengkhianatan terhadap keadilan

Oleh AZRIL MOHD AMIN DALAM tindakan terbaharu kedegilan diplomatik, Amerika Syarikat (AS) menggunakan kuasa vetonya untuk menggagalkan resolusi yang mahu...

Lagi Artikel Berkaitan