31.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Berita palsu: Wanita didenda RM5,000, guru mengaku tak salah

Mesti Baca

CYBERJAYA – Seorang suri rumah di Perlis dan seorang guru tuisyen di Johor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas kesalahan menyebarkan berita palsu berhubung jangkitan Covid-19 dan vaksin virus itu, menjadikan mereka individu awal didakwa di negara ini di bawah Ordinan Darurat.

Di PERLIS, Norjannah Rusli, 28, didenda RM5,000 atau penjara lima bulan oleh Mahkamah Sesyen Kangar selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menyebarkan berita palsu berhubung wabak itu menggunakan perkhidmatan status WhatsApp dengan niat untuk menyebabkan ketakutan dan kebimbangan kepada orang awam.

Ibu kepada dua anak itu melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Jalan Pauh, Kampung Belukar, Arau, pada 10.31 pagi 18 April lepas.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No.2) 2021 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

Hakim Musyiri Peet menasihati wanita itu agar lebih bertanggungjawab ketika pandemik Covid-19 melanda negara.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) Perlis Mohd Nordin Ismail manakala tertuduh diwakili peguam Zuhair Ahmad Zakuan yang dibantu peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Siti Hajar Che Ahmad.

Pada 20 April lepas, Bernama melaporkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis membuat laporan polis berhubung maklumat tular di media sosial mendakwa sembilan pelajar di sebuah sekolah menengah disahkan positif Covid-19, yang mengundang rasa panik ibu bapa serta pelajar di sekolah seluruh negeri.

Di JOHOR, seorang guru di pusat tuisyen Mohd Nazaruddin Yusoff, 50, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan menerbitkan berita tidak benar berhubung kematian akibat vaksin Covid-19 menggunakan aplikasi Facebook menerusi profil “Mohd Nazaruddin Yusoff”.

Lelaki berkenaan didakwa melakukan kesalahan itu dengan niat sama dan dituduh atas seksyen serupa.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Pengurusan Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian pada 11.50 pagi, 21 April lepas.

Hakim Ahmad Fuad Othman membenarkan Mohd Nazaruddin yang tidak diwakili peguam diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Kes dikendalikan PPN Johor Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman.

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan