24.4 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Permintaan minyak naik hasil vaksinasi secara agresif

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Pelaksanaan program vaksinasi secara agresif telah membantu proses pemulihan aktiviti ekonomi di beberapa negara dan secara tidak langsung meningkatkan keyakinan pengguna sekali gus memacu semula permintaan minyak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, jumlah keseluruhan permintaan minyak mentah dunia pada suku kedua 2020 adalah 83 juta tong sehari dan dijangka meningkat kepada 94 juta tong sehari bagi tempoh yang sama tahun ini.

Menurut beliau, secara purata, harga minyak mentah Brent bagi tempoh Januari sehingga Mei 2021 mencatat AS$63 setong berbanding AS$40 setong bagi tempoh yang sama tahun lepas.

“Selaras dengan usaha-usaha pemulihan aktiviti ekonomi yang berterusan di Malaysia, permintaan ke atas produk minyak domestik juga telah mencatatkan peningkatan semula kecuali sektor penerbangan.

“Jika dibandingkan Perintah Kawalan Pergerkan (PKP) 1.0 dengan PKP 3.0, pembukaan beberapa subsektor ekonomi telah memainkan peranan dalam membawa kepada peningkatan dalam permintaan minyak,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mustapa mengulas tentang mesyuarat ke-17 Peringkat Menteri Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan Bukan-OPEC (juga dikenali sebagai Mesyuarat OPEC+) yang diadakan secara maya semalam.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan bersama oleh Menteri Tenaga Arab Saudi, Putera Abdulaziz al-Saud dan Timbalan Perdana Menteri Rusia, Alexander Novak dan disertai oleh 13 wakil negara anggota OPEC serta 10 wakil negara bukan anggota OPEC.

Advertisements

Mustapa mengetuai delegasi Malaysia dalam mesyuarat tersebut.

Malaysia yang bukan anggota OPEC mula menyertai Mesyuarat OPEC+ sejak Disember 2016.

Mesyuarat itu merupakan platform untuk membincangkan kedudukan pasaran minyak mentah dunia.

Mustapa memberitahu, kejatuhan permintaan minyak mentah yang berpunca terutamanya oleh penularan pandemik COVID-19 dan lebihan bekalan yang tinggi telah menyebabkan harga minyak jatuh mendadak.

Beliau menambah, kesepakatan yang dicapai oleh OPEC+ khususnya semenjak April 2020 telah memberi impak positif kepada imbangan dan kestabilan pasaran minyak global, di samping membantu mengawal lebihan stok minyak dunia.

“Malaysia menyambut baik keputusan yang dibuat dalam mesyuarat kali ke-17 OPEC+, iaitu menegaskan kembali komitmen sedia ada Mesyuarat Menteri OPEC+ pada April 2020, yang dipinda pada bulan Jun, September, dan Disember 2020, serta pada bulan Januari dan April 2021 untuk meningkatkan pengeluaran sebanyak dua juta tong sehari (mb/d) secara beransur-ansur pada kadar yang sesuai mengikut keadaan pasaran.

“Selain itu, memantau asas pasaran minyak bagi memastikan proses untuk mengimbangi dan menstabilkan pasaran minyak global dapat dicapai,” jelasnya. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan