33.9 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 5, 2024

Perodua Axia E: Usah kompromi aspek keselamatan

Mengurangkan spesifikasi keselamatan kenderaan bukanlah penyelesaiannya

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

JANGANLAH berkompromi apabila menyentuh soal keselamatan pemandu, kata bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong.

Beliau melahirkan kebimbangan berhubung spesifikasi kenderaan mampu milik, Perodua Axia E yang dilancarkan, baru- baru ini.

Ka Siong berkata, walaupun kenderaan mampu milik ditawarkan dengan harga serendah RM22,000, namun ia perlulah dilengkapi Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) atau Anti-Lock Braking System dan kawalan kestabilan elektronik (ESC) demi keselamatan pengguna dan orang ramai.

“Saya puji syarikat pembuat kenderaan yang sentiasa memikirkan keperluan dan memahami kesukaran rakyat dengan mengeluarkan kenderaan mampu milik.

“Namun, janganlah kita berkompromi apabila ia menyentuh soal keselamatan pemandu, penumpang termasuk pengguna jalan raya yang lain.

“Spesifikasi tertentu seperti ABS, ESC dan Agihan Brek Elektronik – EBD (subsistem kepada ABS dan ESC) tidak boleh diketepikan sama sekali hanya kerana mahu menjadikan kenderaan tersebut sebagai ‘Kereta Rahmah’,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau di sini.

Perodua Axia E yang dikategorikan sebagai Kereta Rahmah.

Kata Presiden MCA itu, beliau memahami kesempitan kewangan golongan yang berpendapatan rendah untuk memiliki kenderaan namun mengurangkan spesifikasi keselamatan bukanlah penyelesaian.

Menurutnya, kajian telah menunjukkan bahawa ESC dan teknologi anti-gelincir lain bagi kenderaan boleh menghalang kira-kira 40 peratus kematian dan pelanggaran daripada kemalangan akibat hilang kawalan.

“Itulah sebabnya Kementerian Pengangkutan (MOT) di bawah pentadbiran Tan Sri Liow Tiong Lai sebagai menteri sebelum ini mewajibkan semua kereta baharu memiliki ESC mulai 1 Jun 2018,” katanya.

Advertisements

Ujarnya lagi, sejak berdekad, ABS dan ESC terbukti sebagai teknologi penting; yang dapat mengurangkan kemalangan.

“Semakin hari, kos untuk ciri ini juga telah berkurangan. Ingatlah bahawa kenderaan yang tidak selamat bukan sahaja membahayakan pemandu tetapi juga kepada pengguna jalan raya yang lain.

“Jadi saya berharap pembuat kenderaan Perodua Axia E melihat semula model terbaru yang didatangkan tanpa ciri keselamatan seperti ABS, EBD, dan ESC tersebut. Malah ‘central lock’ untuk mengunci keempat-empat pintu kenderaan secara automatik juga tiada dalam model ini.

“Saya difahamkan bahawa spesifikasi Axia E adalah berdasarkan kelulusan yang diberikan di bawah NCAP pada tahun 2014. Tetapi zaman telah berlalu, dan kita mempunyai pengetahuan serta kepakaran yang lebih baik dalam bidang ini,”katanya.

Ka Siong berkata, kekurangan ciri keselamatan asas ini boleh menjadi rujukan akan datang yang membimbangkan untuk kenderaan kos rendah di masa hadapan.

“Tidak mustahil pengilang akan menggunakan ini sebagai alasan untuk mengabaikan ciri-ciri keselamatan yang paling asas. Semasa saya menjadi Menteri Pengangkutan, kami mewajibkan ABS untuk motosikal atas 150cc.

“Adakah pengeluar akan mencari jalan untuk mengurangkan lagi kos motosikal baharu dan menghapuskan ABS?

“Saya membangkitkan kebimbangan ini dengan harapan kerajaan akan memastikan kenderaan terus mengekalkan ciri keselamatan asas ini dalam kenderaan penumpang baharu. Jangan pula kita bergerak ke belakang dalam perkara penting seperti ini,”katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

USANITA pilih Awal Ashaari sebagai wajah untuk 2024

ATAS komitmen terbaik yang diberikan dalam memberikan kerjasama terhadap pelbagai program yang dijayakan oleh Usanita Sdn Bhd (USANITA), pelakon...

Lagi Artikel Berkaitan