32.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

Kerajaan beri rebat elektrik tambahan kurangkan beban rakyat

Mesti Baca

CYBERJAYA – Kerajaan bersetuju untuk membiayai pemberian rebat elekrik tambahan sebanyak 0.87 sen/kWj yang melibatkan peruntukan sebanyak RM493 juta melalui dana Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE).

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah langkah itu diambil dengan mengambil kira cabaran dan kesukaran yang dihadapi oleh rakyat berikutan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1 yang dikuatkuasakan bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.

“Oleh itu, semua pemilik akaun Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang dianggarkan seramai 9.44 juta pengguna akan terus menikmati rebat elektrik sebanyak 2 sen/kWj bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2021.

“Pemberian rebat tambahan ini membolehkan semua pemilik akaun TNB menikmati purata diskaun sebanyak 5 peratus bagi tempoh tersebut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

rebat elektrik
SHAMSUL ANUAR NASARAH

Beliau memberitahu, bagi pengguna-pengguna di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) yang mendapat bekalan elektrik daripada NUR Power Sdn Bhd, kerajaan juga bersetuju untuk memberi rebat elektrik sebanyak 2 sen/kWj kepada pengguna bukan domestik bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2021.

Tambah Shamsul Anuar, ini merupakan kali pertama pengguna bukan domestik di KHTP menikmati rebat elektrik sejak mekanisme penetapan tarif Peraturan Berasaskan Insentif dilaksanakan pada 2017.

“Pemberian rebat ini dilaksanakan berikutan berlakunya penurunan harga bahan api gas dan bekalan elektrik pukal TNB pada separuh tahun pertama 2021 serta penjimatan daripada pelarasan kos sebenar bahan api bagi tempoh Julai hingga Disember 2020,” jelasnya.

Beliau berkata, selain pembiayaan rebat tambahan itu, kerajaan telah bersetuju untuk memberi diskaun bil elektrik secara bersasar kepada pengguna-pengguna domestik dan bukan domestik bagi tempoh Julai hingga September 2021 untuk Semenanjung dan Sabah.

“Perkara ini akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya.

Shamsul Anuar menjelaskan, apa yang diumumkan hari ini adalah berbeza berbanding diskaun.

“Namun penting kerana kerajaan telah bersetuju membelanjakan RM493 juta agar tidak berlaku kenaikan tarif elektrik, dan mengekalkan sebagaimana sekarang,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa golongan miskin tegar dengan pendapatan RM1,169 ke bawah yang berdaftar di dalam Sistem e-Kasih adalah layak mendapat rebat bil elektrik RM40.

“Sehingga Mei 2021, jumlah Ketua Isi Rumah (KIR) yang layak ialah 282,182. Walau bagaimanapun, hanya 113,745 iaitu 40.31 peratus daripada KIR yang layak telah mengemas kini nombor akaun bil elektrik mereka.

“Oleh itu, saya menyeru agar mereka yang layak untuk mengemas kini nombor akaun dengan pihak utiliti bagi membolehkan mereka menikmati rebat bil elektrik berkenaan,” ujarnya. – EDISI 9

Terkini

50 keluarga asnaf terima bantuan pek makanan IR Malaysia

SERAMAI 50 keluarga asnaf menerima bantuan pek makanan daripada Islamic Relief Malaysia (IR Malaysia) sempena program MySinggah Ramadan yang...

Lagi Artikel Berkaitan