30.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Doktor kontrak: Tanggapan salah yang harus diperbetulkan

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

Saudara Pengarang,

Isu Pegawai Perubatan gred UD41 kontrak masih belum temui titik persefahaman nampaknya. Sesetengah dari mereka terus berdegil mahu membuat mogok sebagai petanda mereka ‘isytihar perang’ ke atas Kementerian Kesihatan (KKM).

Lebih melukakan, ada segelintir yang cuba menjaja kononnya Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba cuba membanding-bandingkan unsur perkauman dan agama sebagai suatu indikator untuk proses pelantikan pegawai berstatus kontrak ke perjawatan tetap.

Hakikatnya, Dr Adham dan Ketua Setiausaha KKM Datuk Mohd Shafiq Abdullah menjelaskan ia tanggapan dan tafsiran yang salah. Kenyataan berkaitan nasib Pegawai Perubatan UD41 Bumiputera seperti dilaporkan akhbar ‘Utusan Malaysia’ itu adalah datangnya dari badan bukan kerajaan (NGO) yang membuat kenyataan di akhbar tersebut.

Ulasan Dr Adham terhadap isu tersebut adalah merujuk kepada laporan akhbar itu yang jelas menyebut pandangan daripada Persatuan Perubatan Kesihatan Awam Malaysia berkaitan nasib Pegawai Perubatan kontrak khususnya dalam kalangan Bumiputera.

Sebagai seorang menteri dan juga pengamal perubatan senior, saya tak fikir Dr Adham sanggup melanggar ‘Sumpah Hippokrates’ yang dipegang selama ini oleh warga profesion berkenaan.

Sumpah tersebut adalah suatu sumpah diangkat oleh doktor dan profesional jagaan kesihatan untuk mengamal perubatan secara beretika dan profesional, lagi-lagi menekan kerahsiaan maklumat perubatan yang hanya boleh dikongsi sesama doktor dan pesakit serta larangan mencederakan atau memudaratkan pesakit.

Begitu juga apabila Mohd Shafiq menjelaskan betapa KKM melakukan proses pelantikan tidak pernah sama sekali bersandarkan unsur kaum dan agama, ini bermakna amalan turun-temurun penjawat awam dalam melantik seseorang berdasarkan merit serta prestasi individu berkenaan.

Justeru, tindakan cuba mengeruhkan lagi isu ini dengan menggaitkan kepada perkauman dan pegangan agama adalah suatu tindak-tanduk yang berkudis lagi busuk budi pekerti.

Sama buruknya perangai bilamana terdapat segelintir meletakkan kesalahan penuh terhadap kepimpinan KKM yang dianggap tidak cakna membantu nasib masa depan lebih 23,000 pegawai perubatan yang tidak diserap dalam perkhidmatan perubatan setelah mereka graduan dan melakukan housemanship semenjak 2016.

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Datuk Seri Zainal Rahim Seman berkata, JPA perlu mewujudkan lebih banyak jawatan pegawai perubatan tetap seperti dimohon dan disyorkan KKM sebelum pihaknya meluluskan sebarang pelantikan.

Manakala JPA pula perlu merujuk kepada Kementerian Kewangan untuk memastikan ada sumber wang mencukupi bagi membayar gaji, elaun dan pencen setiap orang pegawai.

Ironinya, ia bukanlah seratus peratus keputusan KKM yang harus dipersalahkan tanpa usul periksa dan tanpa belas kasihan.

Seharusnya ketika pandemik Covid-19 melanda kita semua, saat inilah rakyat jelata dan para pemegang sumpah profesion kesihatan negara perlu berganding bahu melawan musuh yang berbahaya ini. Bukannya mengambil peluang itu untuk menangguk di air keruh.

Yang penting bagi kita pada waktu ini adalah kembali pulih dan berjaya keluar dari keadaan pandemik yang boleh menambah buruk terhadap mutu kehidupan kita jika tidak berjaya.

DR MUHAMMAD KELANTANI
Bandar Baru Bangi

E-melkan keluhan, pandangan, kritikan dan aduan anda kepada kami menerusi [email protected]

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan