25.9 C
Kuala Lumpur
Monday, May 17, 2021

Yusuf Azmi ditahan, suspek pukul lelaki warga asing

Must Read

Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

KAJANG – Aktivis sosial, Yusuf Azmi dan beberapa individu lain ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam insiden memukul seorang lelaki warga asing baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, turut ditahan adalah individu yang dikenali sebagai Abang Ali dan beberapa pengikut Yusuf yang belum dikenal pasti.

Menurut beliau, insiden tersebut dikesan dalam video berdurasi kira-kira 1 minit 21 saat yang tular dalam media sosial semalam dan dipercayai berlaku di kawasan kaki lima Kedai No. 28, Jalan Alam Jaya 19, Taman Alam Jaya, Batu 9 Cheras, Kajang, Selangor.

“Sehubungan itu, pada tarikh yang sama, pukul lebih kurang 2.30 petang, pihak polis dari Cawangan D7 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang telah melihat video yang tular ini dan melakukan siasatan awal ekoran mempercayai tempat kejadian merupakan kawasan pentadbiran IPD Kajang.

“Hasil siasatan awal yang telah dijalankan, kejadian yang viral ini melibatkan mangsa seorang lelaki dipercayai warga asing telah dipukul oleh sekumpulan lelaki Melayu yang dikenali dengan nama Yusuf Azmi, Abang Ali dan beberapa orang pengikutnya yang belum dikenal pasti, katanya dalam kenyataan media, malam tadi.

Mohd Zaid menambah, kejadian yang tular ini jelas merupakan satu kejadian kekerasan jenayah yang boleh disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Beliau menambah, kejadian itu juga merupakan kejadian yang mengganggu-gugat serta mendatangkan kekacauan kepada ketenteraman awam berikutan ia berlaku melibatkan kawasan awam yang terbuka.

“Penelitian ke atas video ini juga mendapati, kumpulan lelaki Melayu yang tular ini telah melanggar beberapa prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan berkumpul serta tidak menjaga penjarakan sosial.

“Sehubungan itu, pihak polis IPD Kajang telah membuat laporan polis berhubung kejadian ini bagi tujuan siasatan lanjut pihak polis,” jelasnya.

Mohd Zaid berkata, berdasarkan kepada video yang tular itu, kes telah diklasifikasikan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

“Jika disabitkan kesalahan, bolehlah dihukum penjara selama dua tahun ataupun dikenakan denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Menurut beliau, bagi kesalahan melanggar SOP PKPB, kes juga disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan / 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Mohd Zaid menambah, bagi kesalahan di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara selama enam bulan atau denda atau kedua-duanya manakala Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 memperuntukkan hukuman penjara lima bulan dan denda RM5,000.

“Kes disiasat oleh Asisten Superintendan Mohd Radzee Jamudi. Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kejadian ini boleh berhubung dengan mana-mana balai polis terdekat atau berhubung terus dengan pegawai penyiasat kes di talian 019-665 5811,” jelasnya. – EDISI 9

Latest News

Korea Utara tarik diri: Malaysia rayu FIFA adil buat ketetapan

CYBERJAYA - Malaysia menghantar surat rayuan rasmi kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung penarikan diri Korea Utara daripada kelayakan...

More Articles Like This