24.4 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Vaksin: Kenapa perlu tuding jari kepada media?

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9

TERGURIS betul hati ini bila seorang doktor pakar menuduh kami kalangan media tidak membantu kerajaan menunjukkan kebaikan vaksin kepada rakyat.

Penulis tidak pasti media mana yang beliau ikuti sehingga tidak tahu begitu banyak tulisan dan laporan mengenai vaksin, tentang Covid-19 dipaparkan dalam media baik arus perdana mahupun media-media digital lain.

Mungkin kerana terlalu sibuk dengan tugas sebagai pengamal perubatan dan sebagai frontliner maka beliau tidak dapat menatap media-media lain selain media tertentu sahaja.

Dan penulis juga husnuzon bahawa beliau hanyalah seorang pakar perubatan dan bukannya pengamal media sehingga tidak mengetahui bahawa media juga seperti doktor ada doktor umum, pakar bedah, pakar kanak-kanak, pakar penyakit dalam dan lain-lain.

Media juga ada pelbagai pengkhususan lebih-lebih lagi media digital yang hari ini bercambah bagai cendawan selepas hujan. Ada media melaporkan hal-hal umum, politik, hiburan, sukan dan lain-lain.

Kalau beliau mengikuti lebih banyak media sosial media-media lain sudah tentu beliau mengetahui bahawa begitu banyak laporan yang dibuat mengenai isu vaksin dan Covid-19 ini termasuk media tempat penulis bernaung.

Malah seingat penulis, ada juga media-media yang memetik kenyataan dan pandangan doktor berkenaan demi membantu meyakini pembaca mereka tentang pentingnya pengambilan vaksin dan bahayanya virus Covid-19.

Sebagaimana para doktor semakin penat berhadapan dengan pesakit Covid-19 setiap hari, begitulah kami dalam kalangan media juga sudah penat menulis dan melaporkan tentang pandemik yang sedang kita hadapi ini.

Begitu juga para anggota keselamatan yang bertugas dalam sekatan jalan raya dan di sempadan negara, berhujan dan berpanas setiap masa setiap hari. Mereka juga penat, hampa dan jenuh.

Jadi, bukankah lebih baik kita sama-sama menjalankan tugas mengikut kemahiran dan tanggungjawab masing-masing demi kesihatan dan keselamatan masyarakat kita mengharungi pendemik yang kelihatan tidak berkesudahan ini.

Bukannya saling menuding jari antara satu sama lain yang kalau mahu mencari setiap kelemahan tidak akan ada kesudahannya.

Usah emosi dengan segelintir golongan antivaksin yang menolak untuk disuntik kerana itu hak mereka dan kerajaan pun tidak mengamalkan polisi mewajibkan seluruh penduduk negara ini mengambil vaksin sepertimana negara jiran.

Advertisements

Kerajaan hanya mahukan kira-kira 70 peratus daripada 32 juta penduduk mendapat imunisasi Covid-19 ini. Bermakna sebahagian lagi dibolehkan untuk menolak mengambil vaksin tersebut.

Kesedaran masyarakat tentang pentingnya pengambilan vaksin sebetulnya amat tinggi namun mereka lebih banyak mengambil sikap tunggu dan lihat. Lagipun proses imunisasi kita sendiri masih banyak kelemahan di sana sini termasuk waktu menunggu begitu lama untuk mendapat suntikan vaksin.

Penulis sendiri sudah mendaftar untuk vaksinasi menerusi aplikasi MySejahtera sejak Februari lalu namun sehingga hari ini tiada sebarang perkembangan. Dan hal yang sama juga dialami oleh jutaan lain yang sudah melakukan perkara yang serupa.

Bayangkan kalangan media seperti kami yang sepatutnya dikategori sebagai frontliner kerana sering berdepan dengan orang ramai pun tidak mendapat keistimewaan untuk menerima vaksin apatah masyarakat umum yang lain.

Mujur kerajaan menawarkan vaksin AstraZeneca kepada mereka yang berminat dan doktor boleh lihat sendiri bagaimana mereka termasuk kami kalangan media berlumba-lumba untuk mendaftar bagi mendapatkan vaksin berkenaan.

Dan semalam, jumlah pendaftar untuk mendapatkan AstraZeneca pusingan kedua yang diperuntukkan habis dalam masa satu jam. Itupun tanpa sebarang kempen yang dibuat oleh kerajaan. Siapa yang mewarwarkan perkara ini kalau bukan kami kalangan media?

Dan doktor juga jangan hanya menyalahkan media apabila 10,000 pendaftar vaksin yang sepatutnya menerima suntikan mereka di Kelantan tempoh hari tetapi akhirnya mereka tidak muncul. Doktor perlu melihat kelemahan-kelemahan lain yang kita sendiri tidak pernah mengambil kira.

Selama ini penulis amat menghormati pandangan doktor ini yang memang begitu aktif memberi pandangan, kritikan, hentam sana sini dalam media sosial. Tetapi menuduh media tidak memainkan peranan dalam isu vaksin ini amat tidak adil dan berat sebelah.

Penulis tidak mahu memanjangkan isu ini sebab apa yang penting sekarang kita semua seluruh rakyat Malaysia perlu memain peranan masing-masing untuk memutuskan rantaian Covid-19 dan bukan hanya menyerahkan beban ini kepada pihak kerajaan semata-mata.

Marilah kita sama-sama menjaga kita, jaga keluarga kita, sanak-saudara, sahabat handai, jiran tetangga dan orang yang di sekeliling kita agar mematuhi SOP, mengambil vaksin dan duduk di rumah jika tiada keperluan yang mendesak serta penting.

Putuskan rantaian Covid-19 kerana kita semua mahu kembali ke kehidupan norma lama.

Lastik! – Bukan antivaksin

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan