24.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Usaha rakyat Malaysia berkesan, UNGA panggil sidang khas

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

CYBERJAYA – Usaha berterusan rakyat Malaysia menekan komuniti dunia serta mengecam kekejaman terhadap Palestin secara maya telah berjaya mengubah persepsi dunia terhadap rejim Zionis Israel.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, hasilnya Presiden Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) di New York akan memanggil satu sesi khas bagi membahas situasi terkini di Timur Tengah dan isu Palestin, malam ini (waktu Malaysia).

Menurut beliau, keputusan Presiden UNGA ini juga antara lain hasil desakan bersama ketiga-tiga pemimpin negara Islam di Asia Tenggara iaitu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden Joko Widodo dan Sultan Hassanal Bolkiah, Ahad lepas.

“Keberkesanan desakan dan tekanan yang dilakukan Malaysia ini turut diakui sendiri Presiden Persatuan Kebudayaan Palestin Malaysia (PICOM) yang menyatakan rakyat Malaysia telah berjaya mengubah pandangan masyarakat antarabangsa terhadap Israel.

“Inilah kekuatan apabila semua memainkan peranan dan bersatu padu,” katanya menerusi akaun Facebooknya hari ini.

HISHAMMUDDIN HUSSEIN

Hishammuddin berkata, di pihaknya pula, Kementerian Luar telah menggunakan setiap ruang bagi mendapatkan resolusi kolektif organisasi-organisasi pelbagai hala.

Advertisements

Katanya, ini termasuklah desakan tegas kepada Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) agar berhenti membisu sebaliknya bertindak segera mengikut enam syor yang dikemukakan oleh Malaysia.

Selain itu, jelas beliau, Malaysia juga menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mengkaji semula perancangan menempatkan pasukan bersenjata PBB bagi melindungi rakyat Palestin.

Hishammuddin berkata, UNSC jelas gagal mencapai kesepakatan walaupun sudah tiga kali bersidang disebabkan oleh kuasa veto sebuah negara sahaja dan ini amat mengecewakan.

“Seperti saya sebut sebelum ini, kekurangan azam politik organisasi-organisasi pelbagai hala ini tidak boleh terus dijadikan alasan untuk mengabaikan tindakan penjajahan Zionis Israel yang semakin berleluasa.

“Cukup-cukuplah masyarakat antarabangsa berdiam diri. Apa yang berlaku sekarang jenayah perang. Apa yang berlaku sekarang ialah jenayah terhadap kemanusiaan. Ia mesti dikecam dan dihentikan,” tegas beliau.

Sehubungan itu, Hishammddin berkata, rakyat Malaysia jangan memandang rendah suara mereka sebaliknya menggesa terus menyuarakan bantahan menerusi media sosial. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan