28.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

SOP dinamik ikut situasi bukan dibuat sewenang-wenang – PM

Mesti Baca

CYBERJAYA – Semua prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikeluarkan telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak statik, sebaliknya ia dinamik kerana dibuat mengikut kesesuaian dalam menangani situasi semasa pandemik COVID-19.

Menurut Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berasaskan kepada faktor dinamik tersebut menyebabkan SOP berubah-ubah dan ia bukanlah dibuat dengan sewenang-wenangnya.

“Kita (kerajaan) tidaklah statik (mengenai SOP PKP), tetapi dinamik. Kita ikut keadaan situasi yang memerlukan kita membuat adjustment untuk menangani situasi yang berbeza-beza. Contoh (sebelum ini) dibenarkan restoran menerima pelanggan masuk makan, kemudian tidak boleh pula.

“Saya minta maaf kalau ada yang agak keliru. MKN yang menentukan (SOP) itu. Bukan dibuat sendiri, ia melalui rundingan. SOP tidak dibuat oleh MKN sewenang-wenang,” katanya dalam program Bicara Khas Cabaran Pandemik COVID-19 Eksklusif Bersama YAB Perdana Menteri yang disiarkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Bernama TV pada malam Ahad.

Muhyiddin berkata beliau memahami rungutan rakyat yang melihat seolah-olah SOP berubah-ubah namun ia disebabkan oleh situasi keadaan COVID-19 itu sendiri yang berubah.

“Kalau tidak faham juga boleh tanya dan kita sudah minta menteri-menteri untuk beri penjelasan, pegawai-pegawai beri penjelasan. Pemimpin community yang ada program empowerment pun sudah diberi penerangan supaya mereka bantu menjelaskan situasi dan keadaan,” katanya.

Beliau menjelaskan kerajaan negeri juga tidak mempunyai kuasa untuk meminta mengubah SOP kerana kuasa terletak kepada kerajaan Persekutuan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) Kementerian Kesihatan atau Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) di bawah Kementerian Sumber Manusia.

Mengenai ketidakpatuhan SOP, Perdana Menteri berkata, setiap tindakan yang diambil mestilah bersandarkan undang-undang, jika yang berlaku adalah sebaliknya, seseorang yang dikenakan tindakan SOP boleh mencabar tindakan itu.

Advertisements

“Kalau ada orang buat kesalahan, kita (kerajaan) hendak ambil tindakan untuk dia dikenakan hukuman. Macam kes-kes sekarang. Selebriti ke siapa ke. Saya tak nak sebut nama, ia mesti bersandar undang-undang.

“Apa kuasa hendak tangkap atau kenakan kompaun RM10,000? Pasal itu SOP bersandarkan undang-undang dan diwartakan. Kalau tidak diwartakan, tidak sah. Ini cerita yang tidak ramai orang tahu. Sebab itu kalau kerajaan buat keputusan hendak buat SOP, selagi tidak diwartakan ia belum boleh dikuatkuasakan,” katanya.

Ditanya mengenai dakwaan individu yang ‘kebal’ dan kewujudan dua darjat dalam penguatkuasaan SOP, Muhyiddin berkata, tidak ada berat sebelah (double standard) dalam dasar kerajaan.

“Kerajaan tidak kira siapa. Menteri ke Perdana Menteri, siapa yang melanggar (SOP) dan memang nyata ada bukti-bukti ikut undang-undang maka mereka tidak akan terlepas daripada dikenakan hukuman, kompaun, charge (pendakwaan) dan sebagainya,”katanya.

Bagaimanapun beliau berkata dengan jumlah 30 juta penduduk Malaysia, pihak berkuasa juga tidak dapat memantau jumlah yang begitu ramai itu dan ada yang akan dilihat seolah-olah terlepas dari hukuman.

Oleh itu, Perdana Menteri meminta rakyat supaya elak daripada melakukan kesalahan melanggari SOP kerana SOP dibuat bukan untuk menyekat kebebasan termasuk hak asasi manusia.

Beliau juga meminta rakyat supaya memberi kerjasama dengan mematuhi SOP demi untuk menjamin kesejahtera semua. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Didenda RM30,000 jual RON95 kepada kenderaan asing

SEORANG pemilik sebuah stesen minyak didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Selayang kerana menjual barangan kawalan berjadual petrol RON95 kepada...

Lagi Artikel Berkaitan