30.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Mayat pemancing ditemukan terapung dekat Pulau Kapas

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

KUALA TERENGGANU – Mayat salah seorang daripada dua pemancing yang hilang di perairan Terengganu sejak 19 Mei lalu ditemukan terapung oleh bot nelayan tempatan di sekitar 4.7 batu nautika dari penemuan mayat pertama berhampiran Pulau Kapas semalam.

Mangsa dipercayai Ja’afar Sulong, 66, yang menaiki bot TFA 663 bersama Baharudin Abdullah, 47, yang ditemukan meninggal dunia dan terapung semalam oleh nelayan tempatan.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, kedua-dua mangsa daripada bot TFA 663 telah ditemukan terapung oleh bot nelayan tempatan yang menyertai dan membantu operasi mencari dan menyelamat (carilamat).

“Mayat mangsa dibawa ke Jeti Maritim Negeri Terengganu. Seterusnya dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah bagi proses pengecaman dan bedah siasat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) meneruskan carilamat hari ketiga bagi mengesan seorang lagi pemancing, Wan Mohd Sufian Wan Abdul Rahman, 34, yang disyaki hilang berikutan penemuan bot fiber milik mangsa di kedudukan 10.1 batu nautika dari muara Kuala Terengganu pada hari yang sama.

Operasi carilamat yang dikoordinasikan Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuantan memperluaskan sektor pencarian hari ini meliputi 492.72 batu nautika persegi dengan tertumpu di kawasan perairan Kuala Terengganu hingga ke Marang.

Maritim Malaysia telah mengatur gerak Kapal Maritim (KM) NUSA serta pesawat udara AW139 Maritim Malaysia, dengan dibantu oleh aset Jabatan Perikanan, bot PL107 serta komuniti nelayan setempat dalam operasi carilamat hari ini.

Maritim Malaysia menyeru kepada semua komuniti laut dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian ini dapat menhubungi talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Kuala Terengganu di talian 09-6224357.

Sementara itu di Kuala Kedah, empat nelayan tempatan berdepan detik cemas apabila bot yang dinaiki mengalami kebocoran dan hampir karam sebelum berjaya diselamatkan anggota bot PERKASA 1226 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah di kedudukan 5 batu nautika barat daya Kuala Kedah, sekitar pukul 10.48 malam tadi.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah berkata, pihaknya menerima panggilan telefon sekitar jam 9.55 malam mengenai insiden bot nelayan pukat tunda kelas C yang hampir karam akibat kebocoran.

Menurut beliau, bot PERKASA 1226 seterusnya diatur gerak ke lokasi kejadian dan telah menemukan bot berkenaan dengan keadaan bot separuh tenggelam dan hanya seorang mangsa sahaja memakai jaket keselamatan.

“Usaha menyelamatkan mangsa menghadapi sedikit kesukaran berikutan keadaan laut yang agak bergelora namun kesemua mangsa berjaya diselamatkan.

“Empat mangsa iaitu Husin Muhammad, 49; tekong bersama tiga kru Romli Hassim, 65; Amran Abu Seman; 49, dan Omar bin Bakar, 56 dibawa balik ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut.

“Salah seorang daripada mangsa mengalami kecederaan di lengan kanan telah diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan dan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk rawatan lanjut manakala tiga lagi mangsa dibenarkan pulang ke rumah bersama waris,” jelasnya dalam kenyataan media, hari ini.

Maritim Malaysia mengingatkan semua yang berhasrat melakukan aktiviti di laut agar mengambil langkah-langkah keselamatan seperti memakai jaket keselamatan, merujuk ramalan kaji cuaca, memastikan bot dalam keadaan baik dan membawa personal locator beacon (PLB).

Zon Maritim Kuala Kedah meminta orang awam untuk melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579. – EDISI 9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan