24.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

PKP 3.0: Sekatan lebih ketat sektor ekonomi dan sosial

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang sedang berkuat kuasa diperketatkan lagi dengan penambahan sekatan yang lebih ketat ke atas sektor ekonomi dan sosial.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan media malam ini berkata, perkara itu diputuskan dalam sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN): Pengurusan COVID-19 petang tadi.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Sidang khas ini turut melibatkan kerajaan negeri bagi mengambil kira situasi semasa di negeri masing-masing serta pandangan mereka terhadap usaha untuk mengekang penularan COVID-19.

“Perincian mengenai sekatan tambahan ini akan diumumkan dalam sidang media Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 22 Mei 2021,” jelas Pejabat Perdana Menteri.

Menurut kenyataan berkenaan, sidang khas tersebut telah membincangkan secara mendalam situasi semasa penularan jangkitan COVID-19.

Mesyuarat meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan berhubung status terkini kes COVID-19 termasuk kadar kebolehjangkitan, kapasiti kesihatan setiap negeri dan cadangan tindakan bagi mengawal penularan jangkitan COVID-19.

Selain itu, sidang khas juga membincangkan status pelaksanaan PKP 3.0 yang sedang berkuat kuasa untuk tempoh empat minggu bermula 12 Mei 2021.

Advertisements

Prosedur operasi standard (SOP) bagi PKP 3.0 telah diperketatkan termasuk larangan rentas negeri dan daerah serta sekatan bagi aktiviti sosial, sukan dan
rekreasi serta persidangan dan mesyuarat secara bersemuka.

Namun begitu, penularan dalam komuniti yang semakin meningkat dan kewujudan varian baharu yang lebih agresif dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi menyebabkan usaha untuk melandaikan lengkung jangkitan mengambil masa yang lebih panjang.

Jumlah keseluruhan kes baharu jangkitan positif COVID-19 di negara ini menurun kepada 6,493 kes hari ini, berbanding 6,806 kes semalam.

Maklumat itu dikongsikan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam hantaran Facebook beliau, hari ini.

Angka kes baharu jangkitan positif COVID-19 mula melebihi angka 6,000 kelmarin apabila sebanyak 6,075 kes.

Selangor kekal sebagai negeri yang merekodkan kadar jangkitan baharu tertinggi dengan sebanyak 2,163 kes, berkurangan berbanding 2,277 kes semalam.

Kuala Lumpur mencatatkan angka kedua tertinggi dengan 641 kes diikuti Sarawak (612 kes), Kelantan (467 kes), Kedah (434 kes), Johor (406 kes), Negeri Sembilan (370 kes), Perak (382 kes) dan Pulau Pinang (302 kes).

Negeri-negeri lain pula mencatatkan angka di bawah 200 kes iaitu Melaka (165 kes), Pahang (161 kes), Sabah (144 kes), Terengganu (139 kes), Labuan (84 kes), Putrajaya (20 kes) dan Perlis (3 kes). – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Apabila kita terlampau berlebih-lebihan meraikan Syawal

Oleh DR MOHD ISTAJID MOKHTAR BARANGKALI Malaysia merupakan antara negara Islam paling berlebih-lebihan dalam menyambut Aidilfitri. Tidak seperti negara-negara Islam Timur...

Lagi Artikel Berkaitan