CYBERJAYA – Kerjasama semua pihak amat diperlukan agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 kerana merekalah yang menjadi penentu kejayaan sama ada penularan wabak ini dapat diputuskan atau sebaliknya.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh yang dilaksanakan kerajaan adalah bertujuan bagi membendung dan memutuskan penularan wabak COVID-19 yang melanda negara ketika ini.
“Dua minggu yang kritikal ini saya menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya patuh pada SOP yang telah ditetapkan dan duduklah di rumah jika tiada keperluan untuk keluar.
“Selaku Naib Presiden UMNO, saya menyeru kepada seluruh pemimpin UMNO di peringkat akar umbi serta jentera UMNO supaya turun ke bawah mendengar keluh kesah rakyat yang terkesan akibat PKP penuh dilaksanakan kerajaan.
“Jentera UMNO di setiap peringkat harus berada dalam keadaan bersiap siaga dan sedia berkhidmat termasuk menyalurkan sumbangan kepada mereka yang terjejas ketika sekatan penuh ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurut beliau, UMNO sememangnya berpegang kepada tradisi membela kebajikan rakyat yang menjadi teras perjuangan sehingga parti keramat ini terus kekal relevan sampai ke hari ini.
“Tradisi membela nasib rakyat perlu terus diperkasakan ketika pandemik COVID-19 ini. UMNO perlu menjadi juara membela nasib rakyat.
“Namun dalam melaksanakan tanggungjawab ini, pastikan pematuhan SOP COVID-19 sentiasa dijaga dan amalkan kawalan kendiri yang ketat,” jelasnya. – EDISI 9