24.9 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Neelofa, PU Haris berdepan hukuman denda dan penjara

Mesti Baca

SEREMBAN – Selebriti kontroversi, Neelofa dan suami, PU Haris berdepan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali jika disabitkan melakukan kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Hukuman itu boleh dikenakan bagi setiap kesalahan yang dilakukan pasangan terbabit yang dihadapkan di Mahkamah Majistret Seremban hari ini kerana dituduh melakukan kesalahan melanggar SOP PKPB di sebuah kedai karpet di Nilai, 2 Mei lalu.

Walau bagaimanapun, Noor Neelofa Mohd Noor, 32. dan Muhammad Haris Mohd Ismail, 26, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibaca di hadapan Majistret Mahyun Yusoff.

Muhammad Haris dituduh melakukan dua kesalahan berkaitan kegagalan mematuhi SOP PKPB dengan tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk atau menulis secara manual dan tidak memakai pelitup muka di Kedai Naeem Carpet Sdn Bhd, Kawasan Perindustrian Nilai 3, Nilai, kira-kira pukul 4 petang 2 Mei lalu.

Neelofa pula dituduh tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk di premis itu atau menulis secara manual pada masa dan tarikh sama.

Mahkamah membenarkan Muhammad Haris diikat jamin RM10,000 untuk kedua-dua kesalahan manakala Neelofa diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Jun untuk sebutan semula kes.

Semalam, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman mengesahkan Neelofa PU Haris akan didakwa di Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas tuduhan berkaitan kegagalan mematuhi SOP PKPB.

Advertisements

Menurut beliau, pasangan terbabit dituduh di bawah Peraturan 19, Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No 4) (Pindaan) (No 12) 2021.

Pada 4 Mei lalu, Neelofa dan PU Haris dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai bagi memberi keterangan selama empat jam berkaitan penularan gambar dan video mereka berada di sebuah premis menjual karpet di Pusat Perniagaan Nilai 3 pada 2 Mei.

Polis turut diambil keterangan pemilik premis serta pembantu kedai karpet berkenaan.

Neelofa dan PU Haris mula dikecam para netizen selepas gambar dan video yang menunjukkan mereka berada di sebuah kedai karpet tular dalam media sosial.

Netizen mempersoalkan bagaimana mereka boleh merentas negeri ke Nilai semata-mata untuk membeli karpet.

Perjalanan rentas daerah dan negeri tanpa kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah dilarang semasa tempoh penguatkuasaan PKPB. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan