30.2 C
Kuala Lumpur
Wednesday, May 8, 2024

Langgar SOP: Siti, Khalid dikompaun RM10,000 seorang

Mesti Baca

Menteri, tiga penceramah bebas masing-masing dikompaun RM2,000

CYBERJAYA – Penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 seorang kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika mengadakan majlis tahnik anak keduanya, awal bulan ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, turut dikenakan kompaun sebanyak RM2,000 seorang adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Selain itu, tiga penceramah bebas iaitu Ustaz Azhar Idrus, Ustaz Don Daniyal dan Ustaz Iqbal yang turut menghadiri majlis tahnik tersebut juga dikenakan kompaun RM2,000 seorang.

“Tiga anak pasangan Siti Nurhaliza dan Khalid juga dikenakan kompaun masing-masing RM2,000,” katanya seperti dilapor Harian Metro hari ini.

Sebelum ini Siti Nurhaliza menepis dakwaan majlis tahnik sempena kelahiran anak kedua, Muhammad Afwa di kediamannya baru-baru ini, melanggar SOP termasuk larangan rentas negeri membabitkan salah seorang tetamu seperti yang tular dalam media sosial.

Siti, 42, berkata, individu terbabit yang juga seorang pendakwah bebas terkenal, bersetuju untuk hadir kerana kebetulan beliau berada di sini atas urusan kerja.

Advertisements

“Berhubung isu yang sedang tular, sebagai tuan rumah, saya dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa ingin memberi pencerahan mengenai majlis tahnik yang dianjurkan pada 26 April lalu yang didakwa tidak mengikut SOP termasuk berlakunya aktiviti rentas negeri.

“Kami ingin memaklumkan tiada aktiviti rentas negeri berlaku. Sebaliknya, individu itu bersetuju hadir kerana kebetulan beliau berada di Kuala Lumpur pada tarikh majlis itu diadakan,” katanya dalam satu kenyataan.

Berikutan majlis tahnik itu dianjurkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Siti berkata, atur cara majlis dan bilangan tetamu adalah mengikut syarat yang tertakluk bagi acara yang dianjurkan dalam tempoh berkenaan.

Norman Hakim, Meme Suhaiza, Abby Abadi dan Faizal Zakaria bersama anak-anak semasa hari raya baru lalu. – Sumber: IG Norman Hakim

Sementara itu, Arjunaidi berkata, pihaknya turut mengeluarkan kompaun sebanyak RM2,000 masing-masing terhadap Norman Hakim dan isterinya, Memey Suhaiza kerana melakukan aktiviti ziarah raya baru-baru ini.

Turut dikompaun ialah Abby Abadi dan suaminya, Muhammad Faizal Zakaria juga masing-masing sebanyak RM2,000 kerana turut serta dalam aktiviti berkenaan di sebuah rumah.

Beliau berkata, semua kompaun itu dikeluarkan selepas menerima arahan daripada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

Advertisements

Terkini

Benarkah kanak-kanak di Malaysia tak dapat cukup pendidikan?

Oleh DR ABD RAZAK ZAKARIA LAPORAN Bank Dunia berkaitan kualiti pembelajaran dan pendidikan di Malaysia baru-baru ini sedikit memberi kesan...

Lagi Artikel Berkaitan