31 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

KM Sabah, tolonglah campur tangan! Penduduk buat rayuan

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

Oleh REJIKI PEDUS

KOTA BELUD – Lebih 1,000 penduduk Kampung Labuan, di sini mendesak campur tangan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor untuk menghalang projek berskala besar ladang perikanan dan eko resort di tanah rizab padang ragut Kuala Pintasan, dekat sini dianggarkan berkeluasan 364 hektar atas tanah milik mereka.

Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Labuan, Rusidi Merjin mendakwa, tanah rizab berkenaan dipindah milik, digerankan dan bakal dimajukan sebuah syarikat milikan bukan bumiputera tanpa pengetahuan mereka.

Katanya, majlis pecah tanah projek berskala besar membabitkan ladang perikanan dan eko resort (Aquaculture Farming and Eco Resort) di tapak itu dijangka pada 29 Mei ini.

“Kami mahu Ketua Menteri Sabah mendengar rayuan kami supaya menghalang syarikat terbabit mengambil dan memajukan tanah milik kami.

“Sudah lama penduduk kampung menternak haiwan seperti lembu dan kerbau di kawasan berkenaan tetapi tiba-tiba dipindah milik dan digerankan syarikat bukan milikan Bumiputera,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Rusidi Merjin (tengah) mengadakan perjumpaan bersama Jawatankuasa Persatuan berlatarkan kain rentang yang memohon campur tangan Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor di Kota Belud.

Rusidi berkata, pihaknya juga meminta syarikat yang memajukan projek berskala besar di rizab padang ragut milik mereka supaya membatalkan perancangan berkenaan.

Sebaliknya katanya, pihak terbabit perlu menyerahkan semula tanah berkenaan kepada pemegang amanah bagi membolehkan penduduk kampung mengusahakannya seperti dilakukan ketika ini.

“Kerajaan Sabah juga perlu menyelesaikan isu tuntutan kami terhadap rizab padang ragut Kuala Pintasan dengan meluluskan geran kepada penduduk kampung serta-merta,” katanya.

Tanah rizab padang ragut itu dianugerahkan Kerajaan Borneo Utara (North Borneo) kepada penduduk kampung terbabit pada tahun 1956 untuk kegiatan penternakan lembu dan kerbau dan diiktiraf kerajaan Sabah selepas pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.

Pada 11 Mei lalu, Rusidi membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud meminta siasatan dilakukan terhadap dalang pengambilan tanah serta pihak yang menceroboh, menggeran dan bakal membangunkan tanah berkenaan tanpa kebenaran Pemegang Amanah rizab padang ragut untuk penduduk Kampung Labuan.

Beliau berkata, pihaknya terkejut apabila dimaklumkan hampir keseluruhan rizab padang ragut berkenaan dipindah milik dan digerankan atas nama syarikat swasta dan individu.

“Penduduk kampung kecewa kerana kerajaan negeri seolah-olah lebih mengutamakan syarikat besar untuk kelulusan geran sedangkan tuntutan penduduk kampung untuk memiliki dokumen itu tidak dilayan sejak Sabah mencapai kemerdekaan pada tahun 1963 sehingga kini,” katanya.

Difahamkan pemaju projek itu sebuah syarikat milikan bukan Bumiputera yang berpangkalan di Tuaran serta terlibat dalam sektor pertanian, perhutanan, perikanan dan pemburuan (hunting sector) membangunkan tanah berkenaan tanpa kebenaran dan rundingan dengan penduduk kampung terbabit.

Tanah Rizab Padang Ragut Kuala Pintasan yang antara pemegang amanahnya adalah pemimpin masyarakat Kampung Labuan dan Taun Gusi, didakwa dipindah milik kepada syarikat terbabit tanpa pengetahuan penduduk kampung yang menternak haiwan seperti lembu dan kerbau serta bercucuk tanam di situ.

Ini bukan kali pertama penduduk kampung bangkit memperjuangkan tanah rizab padang ragut Kuala Pintasan sebaliknya mereka konsisten menuntutnya mengikut lunas undang-undang sejak 11 tahun lalu.

Pada Jun 2009 penduduk mengadakan perhimpunan aman membantah projek agropolitan di tapak berkenaan yang kemudian dibatalkan kerajaan negeri serta mendapat liputan meluas media tempatan dan nasional termasuk muka depan akhbar berbahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin. – EDISI 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan