26.7 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Kerajaan laksana misi bawa pulang rakyat Malaysia di India

Mesti Baca


CYBERJAYA – Kerajaan akan melaksanakan misi repatriasi bagi membawa pulang rakyat Malaysia di wilayah utara dan barat India susulan penularan gelombang kedua COVID-19 di negara itu.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata misi repatriasi itu akan dilaksanakan menggunakan pesawat sewaan khas dari Malaysia.

‘’Pesawat akan berlepas ke New Delhi dan Mumbai, India dalam masa terdekat sebaik sahaja urusan berkaitan termasuk kelulusan penerbangan daripada kerajaan India diperolehi,’’ katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, misi tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Penting untuk saya tegaskan, keputusan untuk melaksanakan misi repatriasi ini dibuat secara bersama melibatkan pelbagai agensi.

“Malah, keputusan ini turut mengambil kira maklumat hasil pemerhatian dan analisa yang dibuat oleh pejabat-pejabat Perwakilan Malaysia di India,” katanya.

Keadaan di salah sebuah hospital di India selepas negara itu diserang gelombang kedua Covid-19.

Hishammuddin berkata, rakyat Malaysia yang dibawa pulang menerusi misi tersebut diwajibkan menjalani ujian COVID-19 sebelum berlepas dan sebaik sahaja tiba di tanah air.

Selain itu, kata beliau, mereka juga wajib menjalani kuarantin selama 14 hari di pusat kuarantin yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Misi repatriasi kali ini tidak melibatkan wilayah selatan dan timur India memandangkan situasi di wilayah-wilayah berkenaan masih terkawal.

“Kementerian Luar Negeri melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Chennai akan terus memantau situasi di wilayah-wilayah berkenaan dan membuat penilaian berterusan bagi memastikan keselamatan serta kebajikan rakyat Malaysia di sana terus dijaga,” katanya.

Hishammuddin dalam masa yang sama mengingatkan agar semua rakyat Malaysia di India khususnya di wilayah utara dan barat sentiasa berhubung dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi dan Konsulat Jeneral Malaysia di Mumbai bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan misi tersebut atau mendapatkan sebarang bantuan konsular.

Beliau berkata, misi repatriasi pernah dilaksanakan semasa penularan pandemik COVID-19 melibatkan misi dari Wuhan, China, Iran dan Itali pada tahun lalu. – Edisi 9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan