30.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Hanya dua jam dalam pusat beli-belah, premis peruncitan

Mesti Baca

CYBERJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menetapkan, tempoh pelanggan boleh berada di dalam semua premis peruncitan termasuk pusat beli-belah dihadkan kepada maksimum dua jam mulai Selasa ini.

Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, antara prosedur operasi standard (SOP) yang dikemas kini bagi sektor perdagangan pengedaran termasuk peruncitan, pemborongan dan pengedaran, susulan pengumuman pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang lebih ketat semalam.

Turut dikemas kini ialah waktu operasi sektor perdagangan pengedaran termasuk semua premis peruncitan, pemborongan, pengedaran dan restoran dihadkan dari 8 pagi hingga 8 malam.

“Bagi kedai farmasi dan penjagaan diri pula, waktu operasi kekal dari 8 pagi hingga 10 malam kecuali yang tersenarai di bawah aktiviti yang tidak dibenarkan seperti spa, wellness dan perkhidmatan manicure dan pedicure,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nanta berkata penambahbaikan lain yang dilaksanakan ialah mewajibkan had jumlah pelanggan di dalam semua premis peruncitan termasuk kompleks beli-belah dalam satu-satu masa mengikut keluasan premis perniagaan dengan penetapan satu orang bagi setiap empat meter per persegi.

Had kapasiti pekerja bagi semua premis peruncitan, pemborongan, pengedaran dan kompleks beli-belah termasuk pengurusan, operasi dan sokongan pula ditetapkan sebanyak 60 peratus, katanya.

Bagi premis peruncitan yang tersenarai di bawah Sistem Hotspot Identification for Dynamic Engagement (HIDE) yang masih berisiko tinggi selepas penilaian risiko dibuat oleh Kementerian Kesihatan (KKM), ia akan ditutup serta-merta selama tiga hari bagi tujuan sanitasi, katanya.

Advertisements

“Penambahbaikan dan sekatan tambahan ini akan berkuat kuasa pada 25 Mei ini di seluruh negara,” kata Nanta yang memohon pemain industri di bawah sektor perdagangan pengedaran memastikan pematuhan SOP tersebut oleh pekerja dan pelanggan.

Beliau juga menegaskan, pemilik-pemilik premis perniagaan juga hendaklah sentiasa proaktif, peka dan memastikan pematuhan SOP sentiasa berada di tahap yang maksimum bagi memastikan keselamatan premis masing-masing dan orang ramai dapat terpelihara.

Nanta berkata KPDNHEP akan menggerakkan 2,262 pegawai penguat kuasa di seluruh negara untuk memastikan pematuhan SOP yang diperketatkan itu di semua premis perniagaan peruncitan, pemborongan, restoran dan pengedaran.

“Penguat kuasa KPDNHEP juga akan bertindak memperhebat pemeriksaan premis-premis perniagaan termasuk pada hujung minggu dan hari cuti,” katanya.

Beliau menegaskan KPDNHEP sebagai antara agensi yang diperturunkan kuasa bagi menguatkuasakan PKP di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 tidak akan berkompromi dalam mengambil tindakan tegas termasuk mengenakan kompaun.

“Kementerian juga tidak teragak-agak untuk mencadangkan kepada Majlis Keselamatan Negara untuk menutup serta-merta mana-mana premis yang didapati tidak mematuhi SOP PKP yang diperketatkan ini,” katanya.

Nanta berkata kerjasama semua pihak pada masa ini adalah amat penting bagi memastikan penularan COVID-19 dapat diatasi segera di samping dapat mengekalkan kelangsungan ekonomi negara.

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan