25.6 C
Kuala Lumpur
Monday, September 9, 2024

Mengenang Cikgu Majid, pemergian yang dirasai

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9


MASIH terngiang-ngiang teguran Cikgu Abdul Majid Yusof, guru Geografi yang pernah mengajar penulis 32 tahun  lalu.

Cikgu Majid bukanlah seorang yang garang tetapi tegas kerana beliau mahu melihat kami anak-anak kampung berjaya dalam pelajaran dan menghormati beliau sebagai cikgu.

Oleh kerana mengetahui kejayaan adik-beradik penulis dalam pelajaran dan penulis sendiri adalah pelajar terbaik SPM Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Seri Maharaja Lela pada tahun 1989, hubungan penulis dengan Cikgu Majid sangat rapat. Kami selalu berhubung sehinggalah ke akhir hayatnya.

Pada tahun lalu, bacaan doa penulis bersama abang penulis seperti disiarkan oleh akhbar Sinar Harian pada 16 Mei 2020 (Sempena Hari Guru) rupa-rupanya  ziarah dan bacaan doa terakhir beliau bersama penulis.

Kebetulan penulis membuat kejutan untuk menghadiahkan hamper juadah hari raya pada tahun lalu ketika Cikgu Majid sedang menjalani rawatan dialisis.

Setiap tahun menjelang sahaja tarikh 16 Mei , penulis akan menyampaikan ucapan Selamat Hari Guru kepada Cikgu Majid. Kali ini, sukar untuk penulis menemuinya yang diketahui semakin uzur kerana PKP.

Maka penulis cuba menyiarkan semula berita Sinar Harian tahun lalu itu sebagai kenangan berharga dan disalinkan dalam WhatsApp grup Anak Murid Cikgu Majid.

Sehinggalah, penulis dikejutkan pada 18 Mei lalu apabila penulis menerima mesej Cikgu Majid telah meninggal dunia. Isterinya Cikgu Zawiyah Khatim (bekas guru penulis juga)  mengesahkan kembalinya Cikgu Majid ke rahmatullah.

Sekali lagi, kawalan rentas daerah menyebabkan ramai tidak dapat menziarahi jenazah Allahyarham termasuk penulis.

Apa pun begitu banyak kenangan penulis dan masyarakat Kampung Gajah ketika Cikgu Majid bertugas sebagai guru, Pengetua dan Ketua Sektor di Jabatan Pendidikan Negeri Perak.

Sikap tegas dan berjiwa pendidik beliau menyebabkan kami segan dan menghormati dengan beliau. Tegurannya penuh nasihat agar kami tidak mensia-siakan masa depan dengan mengabaikan pelajaran.

Beliau selalu menyuntik semangat penulis ketika di tingkatan lima sehingga menjadikan penulis bukan hanya cemerlang dalam pelajaran tetapi juga pencapaian ko-kurikulum hingga ke  peringkat nasional.

Selepas tamat persekolahan kami sering berjumpa. Malah ketika minum di mana-mana kedai kopi, kami pasti akan mengimbau kenangan lalu, isu semasa dan tetap ada nasihat daripada Allahyarham.

Cikgu Abdul Majid Yusof (duduk tengah) bersama bekas pelajar SMKDSML pada tahun 2016.

Hubungan penulis semakin akrab beberapa tahun kebelakangan ini apabila satu hari Cikgu Majid mengajak penulis bersembang sambil meletakkan harapan agar alumni SMKDSML diwujudkan segera dan beliau melihat penulis sebagai calon paling  layak jadi pengerusi.

Penulis pada mulanya menolak kerana memahami sejarah alumni tersebut sebelum itu. Bukan senang nak bergiat aktif di Kampung Gajah. Jembalang yang akan mengacau pasti banyak.

Advertisements

Penulis telah mengenakan syarat supaya beliau membantu dengan kemampuan beliau sendiri yang ketika itu baru bersara daripada Jabatan Pendidikan Negeri Perak.

Beliau sendiri berdiri di atas pentas dewan SMKDSML untuk membantu penulis berkempen bagi menjayakan penubuhan alumni itu. Sebut sahaja Cikgu Majid, maka ramailah anak-anak murid sejak era awal 80an yang hadir menyokong penubuhan alumni tersebut.

Dalam proses penubuhan tersebut, kacau ganggu memang banyak sekali dan kalau hendak difikirkan penulis mahu sahaja untuk mengalah awal. Namun, penulis berazam sekurang-kurangnya sambutan Jubli Emas 50 tahun SMKDSML perlu dijayakan pada tahun 2016.

Akhirnya, penulis berjaya mengumpulkan satu jumlah kutipan derma dan pelbagai aktiviti termasuk melibatkan media dan selebriti terkenal sempena Jubli Emas itu.

Sepak terajang orang politik dan kuncu keliling memang menyakitkan hingga ada aktiviti yang terbatal saat-saat akhir. Ada pemimpin berkuasa di Perak yang sanggup memberi derma kepada sekolah tetapi tidak berani untuk datang kerana ‘tak ngam’ dengan kepimpinan politik tempatan ketika itu.

Apabila orang jabatan pun cuak nak menyertai kami, Cikgu Majidlah yang penulis hubungi untuk memberi pandangan dan membantu di peringkat jabatan.

Akibat mahu menjaga kepentingan semua pihak terutama pengurusan sekolah yang kelihatan agak stress, penulis beralah dan mengundurkan diri  dan mencari cara lain untuk berbakti kepada sekolah.

Selepas itu, jika terserempak dengan Cikgu Majid, kami akan bersembang atau makan bersama sebagai tanda hormat kami kepada Allahyarham.

Kini Cikgu Majid telah pergi buat selama-lamanya tetapi penulis yakin ilmu yang ditinggalkan dan dimanfaatkan oleh anak-anak muridnya serta peranannya sebagai ejen pembangunan masyarakat tidak akan dilupakan.

Minggu lepas iaitu pada 16 Mei adalah Hari Guru. Karisma keguruan Cikgu Majid adalah antara contoh sifat dan jiwa pendidik perlu dicontohi  sesiapa sahaja yang mahu bergelar Cikgu.

Penulis sendiri pernah berkhidmat sebagai Cikgu sebelum terjun ke dunia korporat pada pertengahan tahun 90an.

Selalunya jiwa seorang cikgu yang sudah terdidik dengan ilmu dan asuhan pendidikan menjadikan kita lebih mengamalkan sifat insani berbanding dengan dunia material lain.

Mengakhiri tulisan penulis kali ini, semua pendidik perlu menghayati kata-kata Cikgu Majid yang disiarkan Sinar Harian pada 16 Mei tahun lalu:

“Guru ini yang dia penting adalah anak murid dia, yang lain tak ada. Tanyalah mana-mana cikgu pun apa yang dia suka jadi cikgu ini. Dia suka tengok anak-anak muridnya berjaya dan dia suka anak-anak muridnya hormat dirinya, itu sahaja.”

Alfatihah buat Cikgu Abdul Majid Yusof. Ya Allah ampunilah dosanya, lapangkan kuburnya sebagai taman nan indah dan janjikan syurga buatnya.

  • Penulis adalah Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan (IGROW) dan Aktivis Ekonomi Sosial.

Advertisements

Terkini

5 tahun pasca-COVID-19: Cabaran dalam sistem pendidikan

Saudara Pengarang Penularan novel coronavirus 2019 (COVID-19) atau 2019-nCoV pada Disember 2019 di Wuhan, China memberi satu pengalaman yang tidak...

Lagi Artikel Berkaitan