25.9 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Tren LRT bertembung, lebih 200 penumpang cedera, 47 parah

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Prasarana Malaysia Berhad mengesahkan berlaku kemalangan melibatkan tren aliran transit ringan (LRT) Kelana Jaya sebentar tadi.

Difahamkan, seramai 47 penumpang cedera parah manakala 166 penumpang lagi cedera ringan dalam insiden berkenaan.

Insiden itu berlaku kira-kira pukul 8.45 malam di antara stesen LRT Kampung Baru dan KLCC.

“Salam hormat, kami ingin memaklumkan bahawa perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya sedang berhadapan dengan satu insiden yang melibatkan tren bernombor 40 dan 81.

“Pasukan kami sedang menguruskan bantuan dan kerja-kerja menyelamat sekarang. Sila bertenang dan patuhi segala arahan.

“Kami memohon maaf atas segala kebimbangan dan kerisauan. Pihak kami sedang berusaha secepat mungkin untuk memberi bantuan dan mengawal keadaan,” kata Prasarana dalam kenyataan media, malam ini.

tren LRT
Gambar: Media sosial

Sementara itu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau telah dimaklumkan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong bahawa berlaku kemalangan yang melibatkan sebuah tren Transit Aliran Ringan (LRT) berhampiran stesen Kampung Baru petang tadi.

Beliau difahamkan bahawa petugas-petugas keselamatan dan kecemasan sedang berada di tempat kejadian.

“Semoga kerja-kerja penyelamatan dipermudah dan penumpang terlibat selamat, manakala mereka yang cedera diberikan rawatan segera.

Advertisements

“Saya memandang serius kemalangan ini dan telah mengarahkan Kementerian Pengangkutan dan Prasarana untuk melakukan siasatan penuh untuk mengenal pasti punca kemalangan ini, dan tindakan yang tegas harus diambil dengan segera.

“Keutamaan sekarang harus diberikan kepada mangsa-mangsa kemalangan, dan saya telah mengarahkan semua pihak memberi kerjasama sepenuhnya bagi memastikan mangsa mendapat rawatan yang menyeluruh memandangkan kita juga berada dalam gelombang pandemik COVID-19 yang sedang meningkat naik,” katanya dalam hantaran Facebook, malam ini.

tren LRT
Wee Ka Siong melawat lokasi kejadian kemalangan LRT malam ini.

Dalam pada itu, Ka Siong dalam sidang media malam ini memberitahu, pasukan petugas khas ditubuhkan serta-merta bagi menyiasat insiden pelanggaran tersebut.

Menurut beliau, Ketua Pengarah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Azlan Shah Al Bakri akan menghantar laporan awal insiden ini kepada Kementerian Pengangkutan esok.

“Dalam tempoh dua minggu kita akan siasat sama ada insiden disebabkan kesilapan sistem atau komunikasi. Kita akan pastikan siasatan dan kenal pasti punca pelanggaran ini.

“Ini adalah kejadian pertama membabitkan pertembungan tren LRT dalam 23 tahun sejarah operasinya,” ujarnya.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah menjelaskan, tren dari Gombak membawa 213 penumpang manakala tren dari arah Kelana Jaya yang tidak membawa penumpang, dipercayai mengalami masalah teknikal sebelum pertembungan berlaku.

Beliau berkata, semua penumpang yang cedera dihantar ke Hospital Kuala Lumpur dan beberapa hospital lain.

Mohamad Zainal menambah, kejadian disiasat di bawah Seksyen 201 Akta Pengangkutan Darat 2010. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Zahid, Muhyiddin sepakat batal saman, henti pertikaian peribadi

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini membuat...

Lagi Artikel Berkaitan