27.3 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Surat terbuka akar umbi kepada pucuk pimpinan UMNO

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

Oleh HAMDAN RUKUN

Assalamualaikum Warrahmatullah Wabarakatuh,

Surat ini saya catat dua hari sebelum kita menyambut Ramadan, bulan rahmat, bulan keinsafan dan bulan di mana kita benar-benar berasa hamba yang tiada daya upaya.

Insya-Allah di bulan Ramadan nanti saya akan mengurangkan catatan politik kerana kadangkala politik ini meletihkan sebenarnya.

Seingat saya beberapa hari menjelang Ramadan 2018, kita telah diuji dengan ujian yang amat berat dan tidak pernah kita duga. Untuk pertama kali, UMNO yang kita kasihi tumbang di dalam PIlihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Bukan sedikit air mata yang tumpah, alam seakan kelam dan hilang indahnya. Hati kita orang UMNO bagai disiat-siat.

Beberapa peristiwa selepas itu, benar-benar meremukkan hati kita. Misalnya apabila Presiden UMNO ketika itu mula dikenakan pelbagai pertuduhan.

Masih terbayang di mata bagaimana Datuk Seri Najib Tun Razak berbaring di sofa sementara rumahnya digeledah dan pelbagai aset, barangan dan wang tunai telah dirampas.

Di peringkat akar umbi, oranh UMNO tergamam. Seakan hilang arah, tidak tahu apa yang sepatutnya dilakukan. Bukan mudah rupanya menghadapi hakikat kehilangan kuasa.

Namun, oranh UMNO tidak terlalu lama terduduk. Bersama beberapa pemimpin yang gigih, sabar dan setia, oranh UMNO bangkit perlahan-lahan.

Kita meneruskan mesyuarat. Kalau dahulu di dewan yang selesa, kini di bawah khemah atau di rumah ketua cawangan.

Wanita UMNO membawa bekalan makanan, berkongsi juadah. Pemuda mendirikan khemah dan mengangkut kerusi dari pelbagai arah.

Rupanya kesukaran ketika bangkit, kepayahan mencari dana menjadikan akar umbi UMNO lebih gigih, lebih kukuh menyatu, lebih tabah berjuang. Akar umbi tidak lagi berpaling atau menoleh.

Pelbagai tekanan, godaan, gangguan sama sekali tidak melemahkan jiwa dan semangat juang akar umbi. Percubaan menggantikan cawangan UMNO dengan Cawangan parti lain gagal di kebanyakan tempat.

Saya masih terbayang bagaimana akar umbi UMNO berkumpul, berbincang dalam kelompok kecil, tanpa jamuan atau hidangan. Susah tidak menyebabkan akar umbi merungut atau berkeluh kesah.

Untuk sekian lama, sehingga sekarang saya dapat merasakan akar umbi benar-benar berada dalam keadaan ‘solid’, teguh dan utuh. Bukan sahaja orang dewasa, bahkan sayap sayap UMNO juga telah memainkan peranan tanpa hentinya.

Ia berlaku dan berterusan sehinggalah Kerajaan Perikatan Nasional terbentuk. Di sinilah garis mulanya yang mengocak momentum kebangkitan UMNO.

Kocakan ini tidak berlaku di dasar UMNO. Kami di bawah teguh memikul amanah dan tanggungjawab. Kami di bawah setia tanpa syarat.

Segala keretakan, keresahan ini dimulakan oleh pemimpin parti. Saya sebenarnya berat mahu menyatakan perkara ini tetapi sebagai pemerhati di pihak akar umbi, saya ingin menyebutkan bahawa kami tahu dan jelas apa yang sedang berlaku.

Kami tahu siapa pemimpin yang bekerja keras untuk parti bahkan siapa pula bekerja keras untuk kepentingan peribadi.

Kami juga dapat merasakan ada pemimpin langsung tidak menghormati akar umbi bahkan cenderung memandang rendah peranan akar umbi.

Ada pemimpin bercakap soal perlunya perubahan, tetapi mereka tidak juga mahu berubah.Ada pemimpin bercakap soal pengorbanan, mereka tidak pula sanggup berkorban.

Untuk sekali ini biarlah saya berterus terang. Jika pada PRU-14 dahulu kita turun gelanggang di tengah tengah kebencian rakyat (walau apapun alasannya), sekarang kebencian itu sudah berubah.

Rakyat sudah membuat perbandingan. Rakyat melihat bagaimana sebahagian pemimpin UMNO berjuang demi mereka khasnya di waktu susah ini. UMNO sebagai parti sudah mendapat imej yang baik.

Malangnya sikap sebahagian pemimpin seakan-akan cuba mencalar imej ini semula. Pertikaian secara terbuka, kenyataan yang tidak membina sebenarnya akan menyebabkan bukan sekadar rakyat bahkan orang UMNO sendiri berasa bosan.

Saya fikir sudah sampai masa untuk kita semua lebih jujur dan realistik. Perubahan drastik perlu dilakukan. Ada tokoh sudah begitu lama dan kelihatan tidak lagi dapat membantu meningkatkan imej parti. Tokoh-tokoh muda perlu diketengahkan bagi meneruskan perjuangan.

Dari sisi yang lain, saya fikir jika perlu kepada pemilihan, adakanlah pemilihan parti dengan segera. Keyakinan saya akar umbi akan memilih secara objektif dan jujur.

Pemimpin yang kelihatan konsisten berjuang sejak kalah, bersama akar umbi sewaktu bangkit pasti akan dipilih.

Akar umbi juga cukup sedar siapa pemimpin yang menyantuni mereka hanya sewaktu pilihan. Ini juga berlaku di semua peringkat sebenarnya.

Kepada pemimpin parti, usahlah beranggapan kami akar umbi ini hanya pemerhati yang pasif. Kami memerhati, menilai dan menganalisis. Kami dapat merasakan pemimpin tulen atau sebaliknya.

Saya fikir semua kita menyedari, makna sebenarnya politik ialah memenangi kerusi. Kerusi hanya akan dimenangi dengan undi. Jika terus bercakaran, pastilah kita akan kehilangan banyak undi.

Sekiranya itu berlaku, saya ingin mengingatkan, ia bukanlah kerana kami akar umbi tetapi kerana pemimpin yang mementingkan diri sendiri.

Apapun, kita masih ada masa. Semua kita lakukan salah silap. Bahaya untuk UMNO jika kita memilih untuk tidak melakukan pembetulan.

Kepada para pemimpin, hentikan segala polemik dan pergeseran. Ramadan ini jadikan tempoh berdamai dan menyatukan.

Kita semua sayangkan UMNO dan semampu mungkin ingin mewariskan UMNO yang sebaiknya kepada anak cucu.

Kita tidak mahu dan tidak boleh lagi kehilangan sesiapa kerana setiap Orang UMNO amat berharga.

Sekian, terima kasih.

  • Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan