29.4 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Masjid Kg Bongek terbakar 2 hari menjelang Ramadan

Mesti Baca

REMBAU – Dua hari lagi menjelang ketibaan Ramadan, penduduk setempat dikejutkan dengan kebakaran yang memusnahkan sebahagian besar Masjid Kariah Kampung Bongek di sini.

Memetik laporan Sinar Harian, kira-kira 70 peratus bahagian masjid tersebut musnah dalam insiden kira-kira pukul 10 pagi itu.

Pegawai Bomba Kanan II Amer Izham Mokhtar dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.19 pagi.

Mereka tiba di lokasi kejadian kira-kira enam minit kemudian.

Sebahagian ruang solat musnah akibat kebakaran. – Gambar: Facebook N28 ADUN Kota

Kebakaran itu melibatkan bahagian dalam masjid iaitu ruangan solat lelaki dan wanita, bilik mesyuarat serta pendawaian yang terbakar 50 peratus.

“Kebakaran berjaya dikawal pada pukul 10.33 pagi dan insiden ini tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Beliau berkata, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota, Datuk Seri Dr Awaludin Said turut meninjau Masjid Kariah Kampung Bongek petang tadi.

Menurut beliau, ruang solat muslimat telah terbakar sepenuhnya.

“Buat sementara waktu, ahli-ahli kariah Masjid Kampung Bongek boleh menunaikan solat di Surau Seri Layang Jaya sementara kerja-kerja baik pulih dilaksanakan,” jelasnya melalui hantaran dalam laman Facebook N28 ADUN Kota.

Dr Awaludin turut menasihatkan ahli-ahli kariah masjid berkenaan supaya tabah menghadapi ujian yang tiba menjelang Ramadan yang dijangka tiba lusa. – EDISI 9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan