24.9 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Apabila tembolok politik mengatasi nyawa rakyat

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

Oleh MOHAMAD ASRI

SETELAH beberapa hari orang UMNO riuh rendah bagai nak runtuh petala langit bercakap tentang `keputusan bersejarah’ memutuskan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan keluar daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN)  hari ini suasana sedikit tenang, barangkali masing-masing sudah rasional dan berpijak di bumi nyata.

Ketika kebanyakan pemimpin UMNO termasuk yang memegang jawatan besar dalam syarikat milik kerajaan (GLC) `membelasah’ cukup-cukup Bersatu dan kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Penerangan UMNO Shahril Sufian Hamdan secara terbuka meminta parti itu memikirkan kepentingan rakyat sebelum mengambil tindakan sedemikian.

Menurut Shahril tindakan meletak jawatan Kabinet itu mungkin baik untuk UMNO tetapi tidak untuk rakyat.  Dalam hal ini Shahril kelihatan lebih rasional dan berakal  dibandingkan dengan beberapa pemimpin UMNO yang sekadar cakap sahaja  berdegar-degar tetapi isinya kosong. 

Pengerusi Lembaga Penasihat UMNO Tengku Razaleigh Hamzah sebelum ini menggesa semua pemimpin Umno yang memegang jawatan menteri dan timbalan dalam kerajaan PN serta pengerusi syarikat milik kerajaan (GLC) lantikan kerajaan Pusat segera meletak jawatan.

Isnin lalu, kesemua menteri UMNO berjumpa dengan Perdana Menteri bagi meminta nasihat berhubung kedudukan mereka ekoran keputusan yang dibuat pada Perhimpunan Agung UMNO 2020 bahawa mereka perlu meletak pada bulan Ogos ini. Mereka membuat keputusan bijak apabila bersetuju untuk terus kekal dalam Kabinet demi kepentingan rakyat dan negara.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Adham Baba menegaskan kesepakatan dan tekad semua Menteri UMNO untuk terus kekal berada dalam Kabinet adalah demi membantu kerajaan dan negara menangani wabak.

Advertisements

Tindakan menteri-menteri UMNO yang mengutamakan kepentingan rakyat dan negara merupakan perbuatan terpuji jika dibandingkan dengan segelintir pemimpin UMNO yang berada di atas pentas Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) tempoh hari.

Hampir semua kementerian termasuk yang diterajui oleh menteri-menteri UMNO pada masa ini terlibat secara langsung dalam agenda melawan Covid-19, program vaksinasi kebangsaan, keselamatan negara dan hubungan luar, Mereka tidak akan tergamak sama sekali untuk meninggalkan tanggungjawab yang diamanahkan oleh rakyat.

Bayangkanlah jika Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin dan Menteri Kesihatan dipaksa meletak jawatan ketika Program Imunisasi Kebangsaan sedang rancak berlangsung. Samalah juga Menteri Kanan, Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menjaga dan mengurus hal-hal berkaitan keselamatan negara dan nyawa rakyat diminta meletak jawatan ketika ini. Tidakkah ini satu kerja gila? Adakah ini satu perbuatan bermoral dan bertanggungjawab? 

Perlu difahami, gesaan meletak jawatan itu bukan hanya terpakai kepada menteri, timbalan menteri serta ketua-ketua GLC sahaja  tetapi juga kepada mereka yang memegang jawatan di semua peringkat sama ada dalam agensi kerajaan, badan berkanun, pihak berkuasa tempatan (PBT) malah peringkat jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) penghulu dan ketua kampung.

UMNO tidak sepatutnya melihat jawatan menteri, timbalan menteri dan GLC sahaja tetapi perlu memikirkan tentang apa nasib mereka yang memegang jawatan-jawatan lebih rendah yang sebelum ini pernah disingkir dan dipecat sebaik sahaja Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan pada 2018.

Apa yang dilakukan oleh menteri dan timbalan menteri UMNO sangat bertanggungjawab walaupun kelihatan seperti mengingkari arahan Presiden yang Majlis Tertinggi (MT) yang diberi mandat dalam perhimpunan tersebut. . Dalam parti mereka berketuakan Zahid sebagai Presiden tetapi dalam  kerajaan mereka berketuakan Perdana Menteri iaitu Muhyiddin.

Mereka masih ada rasa hormat terhadap Zahid sebagai Presiden, tetapi tanggungjawab kepada rakyat dan negara lebih besar dan mengatasi Presiden UMNO itu sendiri!

  • Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan