28.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Saya tidak gentar dengan gertakan Maszlee – Asyraf Wajdi

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

CYBERJAYA – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan bahawa beliau tidak sedikit pun gentar dengan gertakan saman bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Sebaliknya beliau merasa pelik kerana Ahli Parlimen Simpang Renggam itu yang melatah ekoran desakan Pemuda UMNO agar Kementerian Pendidikan menarik balik buku teks Sejarah Tingkatan 4.

Bagaimanapun, Asyraf Wajdi berkata, memandangkan Maszlee mendakwa telah menghantar surat tuntutan kepadanya, maka beliau sedia menyelesaikan isu tersebut di mahkamah.

“Memandangkan Dr Maszlee Malik sudah nyatakan bahawa beliau akan menyaman saya dan mendakwa telah menghantar LOD (surat tuntutan) kepada saya (sampai saat ini belum terima apa-apa), maka biarlah kebenaran ditentukan kelak di mahkamah oleh Hakim Yang Arif lagi Bijaksana.

“Sebarang debat yang berkisar isu buku teks ini hanya akan mengganggu dan subjudis kepada proses mahkamah kelak.

“Saya sedikitpun tidak gentar dengan gertakan saman beliau, bahkan pelik apabila beliau pula yang melatah,” katanya hari ini.

Asyraf Wajdi menerusi hantaran dalam Facebook pada 24 Februari lalu mendesak Kementerian Pendidikan menarik balik buku teks Sejarah Tingkatan 4 dan memperbetulkan fakta dalam buku sukatan KSSM tersebut.

Beliau berkata, ini kerana terdapat unsur-unsur fakta yang dimanipulasikan di dalam buku tersebut dengan mengagung-agungkan komunis sebagai pejuang kemerdekaan.

Tanpa menyebut nama Maszlee, Asyraf mendakwa, buku teks yang dikemas kini ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu seolah-olah usaha terancang dan sengaja dilakukan bagi menanam benih ideologi Malaysian Malaysia dalam pemikiran pelajar.

Ekoran itu, Maszlee mendesak Asyraf Wajdi memohon maaf kerana mendakwa memfitnahnya.

Hari ini beliau mengemukakan empat tuntutan kepada Asyraf Wajdi iaitu memadamkan hantaran mengenai buku ini di Facebook, memadam serta-merta semua hantaran isu tersebut dalam media sosial lain, membuat tuntutan maaf menerusi media dan akhbar serta membayar pampasan ganti rugi kerana memfitnahnya.

Menurut Asyraf Wajdi, apa yang disuarakan itu turut disokong oleh Sekretariat Gabungan NGO Membantah Buku Teks Sejarah semasa menyertai forum mengenainya anjuran Pemuda UMNO baru-baru ini.

Asyraf Wajid berkata, Timbalan Pengerusi gabungan tersebut, Datuk Yazid Osman sendiri mendedahkah bahawa wujud campur tangan dilakukan oleh bekas timbalan menteri daripada DAP waktu itu.

“Untuk makluman juga Menteri Pendidikan di zaman PH (Pakatan Harapan) ada dua orang termasuk Tun Dr Mahathir (Mohamad) setelah Dr Maszlee melepaskan jawatan beliau.

“Untuk pengetahuan Pemuda UMNO seluruh Malaysia telah membuat laporan polis kelmarin dan hari ini untuk meminta pihak berkuasa melakukan siasatan segera atas dakwaan campurtangan ini termasuk isu manipulasi fakta sejarah sebagaimana yang juga dituntut oleh 73 NGO yang bernaung di bawah PEMBELA yang lebih awal membuat laporan polis yang serupa,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Siti Hajar, pendiam tapi aktif dalam aktiviti kemasyarakatan

BERBEZA dengan mahasiswa lain yang aktif di kampus, gadis ini sering dianggap pendiam, walaupun banyak menyertai malah turut berpeluang...

Lagi Artikel Berkaitan