28.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Majikan mesti sediakan kelengkapan bekerja dari rumah

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Kerajaan dan majikan perlu menyediakan persekitaran kerja yang sama seperti di pejabat sekiranya mahu memperkenalkan kemudahan bekerja dari rumah (BDR) untuk sektor awam dan swasta dengan gaji penuh bagi memastikan kejayaan pelaksanaannya.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat berkata, kemudahan serta kelengkapan yang baik seperti di pekerja di pejabat wajar disediakan untuk pekerja BDR bagi memastikan produktiviti kerja yang diharapkan dapat dicapai.

Jelas Adnan, persekitaran kerja yang baik untuk konsep BDR perlu meliputi penyediaan kemudahan capaian internet, komputer riba serta kelengkapan lain yang dinikmati pekerja yang bekerja di pejabat sekiranya pihak yang terlibat mahu melihat keberhasilannya.

“Tiada gunanya jika kita melaksanakan konsep BDR ini tetapi hasil atau produktiviti yang kita harapkan tidak dapat dicapai akibat daripada persekitaran kerja yang tidak sesuai di rumah. Pada akhirnya yang dipersalahkan adalah golongan pekerja kerana tidak produktif.

“Sedangkan mereka ini berhadapan dengan masalah yang kita tidak ketahui. Sekiranya konsep BDR mahu diperkenalkan pada masa akan datang, ia perlu dirangka dengan pendekatan yang menyeluruh agar tidak menjadi sia-sia,” ujarnya dalam kenyataan media hari ini.

adnan mat
ADNAN MAT

Semalam Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan untuk untuk memperluasskan kemudahan bekerja dari rumah (BDR) untuk sektor awam dan swasta dengan gaji penuh bagi tujuan penjagaan ahli keluarga yang uzur dan sakit serta menyokong isteri dalam hal penjagaan anak yang baru lahir.

Advertisements

Adnan berkata, CUEPACS menyambut baik cadangan Perdana Menteri kerana langkah itu merupakan satu keputusan yang tepat memandangkan ia boleh meningkatkan produktiviti negara terutamanya penglibatan golongan wanita dalam pasaran buruh.

Tambah Adnan, berdasarkan statistik semasa jumlah penyertaan tenaga buruh melibatkan golongan wanita hanya mencatatkan sekitar 55.3 peratus berbanding 80.7 peratus golongan lelaki dan ianya satu jurang yang sangat besar.

“Umum mengetahui bahawa golongan wanita ketika ini memiliki bakat dan kemahiran yang luar biasa dan setara dengan lelaki. Bagaimanapun disebabkan kekangan tertentu wanita yang berbakat ini terpaksa meninggalkan pasaran pekerjaan untuk memberi fokus kepada keluarga.

“Ketika ini juga banyak isi rumah yang mencatatkan hanya golongan lelaki saja yang keluar bekerja, manakala wanita menjadi suri rumah sepenuh masa kerana kekangan-kekangan tertentu menjaga anak yang ramai serta ibu bapa atau pasangan yang uzur dan tidak sihat,” ujarnya.

Justeru itu, Adnan berkata, cadangan yang diberikan oleh Perdana Menteri memberi sinar baharu kepada golongan wanita di Malaysia sekali gus boleh meningkatkan kesejahteraan isi rumah.

Adnan berharap Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Sumber Manusia sewajarnya menyambut baik cadangan ini dengan bertindak membuat penilaian segera bagi melaksanakan konsep BDR yang dicadangkan oleh Perdana Menteri. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Apabila kita terlampau berlebih-lebihan meraikan Syawal

Oleh DR MOHD ISTAJID MOKHTAR BARANGKALI Malaysia merupakan antara negara Islam paling berlebih-lebihan dalam menyambut Aidilfitri. Tidak seperti negara-negara Islam Timur...

Lagi Artikel Berkaitan