32.8 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Gelembung pergerakan pelancongan bersasar mula 10 Mac

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Mesyuarat Teknikal Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju untuk membenarkan pelaksanaan gelembung pergerakan pelancongan bersasar domestik secara terkawal mulai esok.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pergerakan pelancongan hanya dibenarkan dari sebuah negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ke negeri PKPP yang lain.

Walau bagaimanapun, beliau menegaskan, pergerakan secara persendirian adalah tidak dibenarkan.

“Perlu menggunakan perkhidmatan syarikat agensi pelancongan berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

“Pergerakan hanya menggunakan kenderaan-kenderaan pelancongan yang berdaftar dengan MOTAC,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Ismail Sabri menambah, syarikat agensi pelancongan perlu mendapat kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk pergerakan rentas negeri.

Beliau memberitahu, perjalanan mestilah terus ke negeri PKPP dan tidak dibenarkan berhenti di mana-mana negeri Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Tempat penginapan telah ditetapkan dan aktiviti-aktiviti pelancongan juga perlu ditetapkan lebih awal. Pergerakan dari PKPB ke PKPP masih tidak dibenarkan,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata, Mesyuarat Teknikal MKN semalam juga mendengar cadangan daripada kerajaan negeri Kedah mengenai status Pulau Langkawi.

Beliau menjelaskan, setelah membuat penilaian risiko dan atas nasihat Kementerian Kesihatan, mesyuarat bersetuju untuk menukar status Pulau Langkawi daripada PKPB ke PKPP berkuat kuasa esok.

“Ini memandangkan Pulau Langkawi telah menjadi Zon Hijau dan kes terakhir yang direkodkan adalah pada 20 Februari lalu iaitu sebanyak dua kes.

“Kebenaran gelembung pelancongan bersasar domestik ini juga terpakai untuk Pulau Langkawi,” ujarnya sambil menambah, Kedah masih kekal di bawah PKPB.

Berhubung dasar bekerja dari rumah (BDR), Ismail Sabri berkata, mesyuarat semalam turut dimaklumkan bahawa dasar tersebut bagi perkhidmatan awam dan industri di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) masih lagi terpakai walaupun semua negeri kini di bawah PKPB dan PKPP.

“Kehadiran pegawai ke pejabat bagi kawasan PKPB adalah pada tahap maksimum 30 peratus, PKPP pada tahap optimum dan boleh beroperasi sepenuhnya.

“Bagaimanapun ia masih tertakluk kepada ketua jabatan untuk melaksanakan arahan ini mengikut kesesuaian cara kerja masing-masing,” katanya.

Bagi industri di kawasan PKPB, beliau berkata, syarikat boleh beroperasi dengan kehadiran 30 peratus daripada kumpulan pengurusan, manakala 100 peratus bagi pekerja kumpulan sokongan dan yang terlibat secara langsung dalam bahagian pengeluaran.

“Bagi kawasan PKPP, syarikat boleh beroperasi sepenuhnya,” katanya. – EDISI 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan