28.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Kabinet Mahathir benarkan kalimah Allah diguna penganut Kristian

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Nor Bee Ariffin membenarkan kalimah Allah digunakan oleh penganut Kristian dalam penerbitannya adalah berdasarkan keputusan Kabinet pada tahun 1986.

Dalam penghakiman setebal 96 muka surat, beliau berkata, selain kalimah Allah, Kabinet ketika di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad itu juga membenarkan perkataan Baitullah, Kaabah dan solat digunakan bagi tujuan pendidikan.

Memetik laporan Bernama, Nor Bee berkata, Kabinet telah mengeluarkan keputusan berkaitan polisi itu pada Mei 1986 berdasarkan satu nota oleh Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba selaku Timbalan Perdana Menteri (TPM) kepada Kementerian Dalam Negeri.

“Bahasa yang jelas dan mudah dalam nota TPM itu, pada pandangan saya membawa maksud bahawa 12 perkataan boleh digunakan tanpa syarat manakala empat lagi (Allah, Baitullah, Kaabah dan solat) tidak boleh digunakan namun ia masih boleh digunakan dengan syarat tujuan penggunaannya dinyatakan di luar kulit muka depan penerbitan seperti ditulis perkataan ‘Untuk Agama Kristian’,” katanya.

Hakim itu berkata, bagaimanapun pada 5 Disember 1986, satu arahan telah dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri kepada semua penerbitan agama Kristian bahawa penggunaan keempat-empat perkataan adalah dilarang sama sekali.

Beliau berkata, antara sebab larangan empat perkataan tersebut adalah untuk mengelak berlakunya sebarang salah faham di antara penganut Islam dan Kristian yang boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman awam serta menimbulkan sensitiviti keagamaan dalam kalangan rakyat.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur

Nor Bee berkata, berdasarkan arahan inilah Tan Sri Syed Hamid Syed Jaafar Albar yang merupakan Menteri Dalam Negeri ketika itu telah mengesahkan satu afidavit bagi menyokong hujah kementerian itu bagi melarang wanita kaum Melanau dari Sarawak yang berama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill menggunakan kalimah Allah.

“Pada pandangan saya, berdasarkan surat Perdana Menteri ketika itu (Dr Mahathir) dan nota Abdul Ghafar, keputusan polisi Kabinet tidak menyatakan larangan sepenuhnya berhubung penggunaan keempat-empat perkataan tersebut.

“Ini berlaku disebabkan arahan yang bercanggah. Arahan bercanggah itu, pada pendapat saya, hanyalah satu arahan kendiri yang dikeluarkan oleh Bahagian Kawalan Penerbitan kementerian terbabit,” katanya.

Hakim itu menegaskan, jika keputusan Kabinet dilaksanakan dengan betul, wajar dan sah berdasarkan undang-undang yang sesuai di bawah tanggungjawab Kementeri Dalam Negeri, prosiding semakan kehakiman ini tidak akan berlaku.

Pada 10 Mac lalu, Nor Bee yang bertindak sebagai hakim Mahkamah Tinggi, membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh seorang penganut Kristian warga Sarawak, Jill Ireland Lawrence Bill, yang memperjuangkan perkara itu di mahkamah sejak 13 tahun lalu.

Keputusan itu mencetuskan kontroversi apabila pelbagai pihak termasuk Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menggesa kerajaan membawa kes tersebut ke Mahkamah Rayuan.

Baginda amat dukacita kerana perkara tersebut kerana ia boleh menimbulkan perbalahan dan persepsi yang kurang elok terhadap keharmornian bangsa Johor yang bermuafakat dalam satu negeri.

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan