24.9 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Agong hargai pengorbanan warga Tentera Darat Malaysia

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Tentera Darat Malaysia ke-88 kepada seluruh warga angkatan Tentera Darat, termasuk veteran dan semua yang pernah berkhidmat.

Memetik hantaran dalam Facebook Istana Negara hari ini, Seri Paduka turut menzahirkan setinggi penghargaan kepada mereka, khususnya yang bertugas di barisan hadapan di atas pengorbanan yang dicurahkan tanpa mengira masa dan penat lelah dalam membantu kerajaan memerangi penularan wabak COVID-19.

Seri Paduka turut menzahirkan setinggi penghargaan kepada seluruh keluarga para perwira dan anggota Tentera Darat yang telah terkorban semasa bertugas dan dalam melindungi kedaulatan dan keselamatan negara.

Seri Paduka mendoakan semoga supaya roh mereka dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama solihin.

Selaku pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Seri Paduka amat menyanjung tinggi dan merakamkan setinggi penghargaan atas jasa, khidmat bakti dan pergorbanan yang dicurahkan oleh seluruh warga dan bekas anggota Tentera Darat dalam melindungi kedaulatan dan keselamatan negara yang kita cintai bersama ini.

“Semoga Tentera Darat terus menjadi sebuah angkatan yang disegani dan dihormati di persada antarabangsa,” jelas hantaran tersebut.

Sementara itu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan pengorbanan dan perjuangan pasukan tersebut dalam mempertahankan kedaulatan negara tidak ternilai harganya.

Menurut beliau, pengorbanan itu membolehkan rakyat menikmati keamanan dan ketenteraman di bumi pertiwi hari ini.

“Semoga warga Gagah Setia terus komited dalam melaksanakan tugas demi mempertahankan kedaulatan ibu pertiwi.

Advertisements

“Sinergi Tentera Darat dan Rakyat: Tunjang Kedaulatan Negara. Terima kasih, Tentera Darat Malaysia,” katanya dalam hantaran Facebook.

Tentera Darat Malaysia

Dalam pada itu, memetik hantaran Facebook Tentera Darat Malaysia, perbarisan Hari Tentera Darat Ke-88 telah berlangsung di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), Port Dickson, Negeri Sembilan.

PUSASDA cukup sinonim sebagai tempat tertubuhnya Tentera Darat pada tahun 1933, manakala Port Dickson pula merupakan bandar yang diisytiharkan sebagai Bandar Tentera Darat.

Perbarisan pada hari ini, yang disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain, diadakan secara statik dengan berskala kecil bagi mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang digariskan oleh kerajaan.

Perbarisan diketuai oleh Kolonel Zulmadi Ariffin berkekuatan seramai 120 pegawai dan 856 anggota lain-lain pangkat.

Tentera Darat Malaysia
Gambar: Facebook Tentera Darat Malaysia

Sempena perbarisan kali ini, beberapa pasukan dan individu warga Tentera Darat turut diberikan penghargaan di atas kejayaan dan pencapaian masing-masing.

Sijil Kecemerlangan Op Benteng dianugerahkan kepada pasukan Batalion Ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja (23 RAMD), Batalion Keempat Rejimen Sempadan (4 RS) dan Rejimen Pertama Kor Armor Diraja (1 KAD).

Ketiga-tiga pasukan merekodkan kejayaan ketika melaksanakan operasi di sempadan negara.

Zamrose turut menganugerahkan Sijil Kepujian dan menyematkan Pingat Pekhidmatan Setia (PPS) kepada lapan penerima, di atas pencapaian masing-masing. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan