25.5 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Tidak mustahil UMNO kerjasama dengan DAP, PKR – Najib

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Tidak mustahil UMNO boleh bekerjasama dengan pihak atau parti yang telah dilabel sebagai ‘musuh’ politik, seperti DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), kata bekas Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak.

Astro Awani melaporkan Ahli Parlimen Pekan berkata itu, parti yang pernah beliau pimpin selama sembilan tahun itu, sememangnya mengamalkan pendirian terbuka kepada semua pilihan, namun ia haruslah mendapat persetujuan pemimpin dan akar umbi.

Politics is the art of possible… saya tak nampak apa-apa sebab kita tak boleh ada sikap keterbukaan kita untuk kerjasama, dengan syarat ahli-ahli dan pemimpin UMNO mesti boleh terima, dan mereka ikhlas, ada trust (kepercayaan) dalam kerjasama.

“Tapi kalau kita nak buat satu pakatan politik baharu, dan tidak berdasar pada kebolehpercayaan atau trust, ia akan runtuh, lambat-laun akan runtuh. Ia (telah pun) berlaku pada Pakatan Harapan sebab asas kepercayaan itu tidak ada,” katanya dalam wawancara bersama Astro Awani.

Sebelum ini Presiden UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi meminta ahli parti itu supaya jangan ada sekelumit pun amarah kepada rakan lama.

Kenyataan itu telah menimbulkan spekulasi adalah UMNO merancang untuk menjalankan kerjasama dengan parti-parti dalam Pakatan Harapan selepas UMNO kini dilihat bermasalah dalam kerjasama dengan Bersatu.

Mengulas lanjut, Najib berkata, kerjasama sama antara pihak atau parti yang dianggap seteru politik bukanlah perkara baharu dalam negara ini.

“Kalau lihat pada PH pun siapa boleh fikirkan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh bersama-sama dalam satu pakatan politik untuk menjatuhkan Barisan Nasional.

“Tetapi ia berlaku. Dr Mahathir dengan DAP umpamanya, boleh duduk semeja, boleh lantik DAP jawatan-jawatan (Kabinet) yang penting,” katanya.

Namun, tambah beliau lagi, ia akhirnya gagal bertahan sehingga pilihan raya umum (PRU) seterusnya, ekoran rasa tidak percaya yang bercambah dalam kalangan parti komponen PH.

Atas sebab itu, Najib sekali lagi menegaskan, sebarang keputusan yang melibatkan perubahan dasar atau prinsip UMNO, khususnya dalam kerjasama dengan parti politik lain, perlu melalui perbincangan yang menyeluruh, dan diterima akar umbi parti itu.

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan