CYBERJAYA – Pihak pengurusan Masjid Negara menyediakan ruang khas untuk golongan musafir, pemandu e-hailing, penghantar makanan dan pemandu teksi yang terlepas kesempatan untuk berjemaah bersama.
Ruang solat khusus ini terletak di anjung kiri di dalam bangunan Dewan Syarahan Masjid Negara tanpa melibatkan dewan solat utama yang hanya dikhaskan untuk solat Jumaat dan solat berjemaah lima waktu sahaja.
Seorang penghantar makanan yang mahu dikenali sebagai Azmie menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada pengurusan masjid kerana prihatin dan memberi ruang terhadap golongan sektor pekerjaan seperti beliau.
Masjid Negara yang terletak di tengah ibu kota Kuala Lumpur sememangnya sentiasa menjadi tumpuan jemaah walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 ini.
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) membenarkan solat Jumaat dan solat fardu berjemaah dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat mulai 5 Februari lalu. – EDISI 9